JAIS tak pernah lantik pihak ketiga urus janji temu perkahwinan

JAIS tak pernah lantik pihak ketiga urus janji temu perkahwinan

JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) tidak pernah melantik mana-mana pihak ketiga untuk berurusan dengan bakal pengantin bagi mendapatkan janji temu berkaitan perkahwinan.

JAIS menerusi satu hantaran di Facebook berkata, bakal pengantin diminta mendapatkan tarikh janji temu secara percuma bagi urusan berkaitan perkahwinan melalui laman sesawang www.jais.gov.my sahaja.

Katanya, pihak yang mempunyai maklumat atau mengetahui terdapat individu mengambil kesempatan menjual slot janji temu diminta segera membuat laporan.

“Pihak JAIS tidak pernah melantik pihak ketiga untuk menguruskan janji temu. Segera laporkan kepada JAIS jika diketahui ada individu yang menjual atau mengambil kesempatan menjual slot janji temu JAIS,” katanya.

Sebarang aduan atau pertanyaan boleh menghubungi talian 03-5514340/3600 atau emel buuk@jais.gov.my.

Mulai 1 Julai lalu, JAIS membenarkan pelaksanaan majlis akad nikah secara bersemuka yang hanya boleh dilakukan di pejabat JAIS dan Pejabat Agama Islam Daerah dari Isnin hingga Ahad.

JAIS turut mengingatkan pengantin lelaki, perempuan serta wali wajib menjalani ujian saringan Covid-19 (RTK-PCR) dalam tempoh 72 jam sebelum pelaksanaan majlis dan mengemukakan keputusan ujian kepada pendaftar. – Malaysiapost

Komen