Semoga roh dakwah YADIM terus subur – Idris

Semoga roh dakwah YADIM terus subur – Idris

DAKWAH Islam di Malaysia yang dilaksanakan Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) diharap terus subur dan berkembang dengan sinergi kuat bersama badan-badan dakwah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain.

Harapan itu dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad susulan pertemuannya kepimpinan YADIM diketuai Yang Dipertuanya, Nasrudin Hassan.

Dalam pertemuan itu, beliau diberikan penerangan perihal peranan, perancangan, perkhidmatan dan pencapaian YADIM.

“YADIM merupakan satu badan amanah yang tidak asing lagi dalam dunia dakwah di Malaysia. Misi besarnya untuk menyebarluaskan kegiatan dakwah menerusi kebajikan, pendidikan dan sosial.

“Usaha memartabatkan Islam dan kesejahteraan ummat dapat dilihat menerusi kerja dakwah mereka serta penyelarasan kegiatan badan-badan dakwah dan NGO sejak penubuhannya pada 1 Muharram 1394, iaitu 25 Januari 1974,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Idris berkata, bertitik tolak daripada itu, YADIM terus berkembang selari dengan peredaran masa.

Katanya, banyak ‘signature program’ telah dilaksanakan seperti YADIM Peduli, YADIM Interaktif, YADIM Murabbi, YADIM Kader Dakwah, YADIM Lestari dan beberapa initiatif lain untuk menyuburkan lagi gerak kerja dakwah.

“Sehingga kini, lebih 7,000 Ejen Dakwah YADIM di seluruh Malaysia terdiri daripada Sukarelawan YADIM, Rakan Siswa YADIM, Rakan Belia YADIM, Daie Muda YADIM, Daie Orang Asli, Daie Sabah dan Sarawak serta Daie Komuniti,” katanya. – Malaysiapost

Komen