6 senator angkat sumpah

6 senator angkat sumpah

SERAMAI enam senator daripada empat negeri mengangkat sumpah di Dewan Negara hari ini.

Mereka ialah Dr Wan Martina Wan Yusoff dipilih oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan berkuatkuasa 24 Ogos 2021; Datuk Ajis Sitin dan Datuk Juhanis Abd Aziz, kedua-duanya dipilih oleh DUN Pahang berkuatkuasa 25 Ogos 2021.

Selain itu Aziz Ariffin dan Seruandi Saad, kedua-duanya dipilih oleh DUN Perlis berkuatkuasa 26 Ogos 2021; dan Fadhlina Sidek yang dipilih oleh DUN Pulau Pinang berkuatkuasa 1 September lalu.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata sebagai ahli baharu kepada Dewan Negara, tentu sekali pengalaman, latar belakang profesionalisme dan kepakaran keenam-enam senator itu amat diharapkan.

“Ini bagi memastikan Dewan ini benar-benar berperanan cemerlang sebagai institusi legislatif serta berkesan kepada negara dan menyampaikan segala yang telah diperjuangkan sebagai buktinya,” katanya dalam ucapan sempena majlis angkat sumpah itu.

Beliau bagi pihak Dewan Negara turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Senator Sopiah Shariff, yang telah kembali ke Rahmatullah semalam.

“Sesungguhnya ia satu kehilangan kepada Dewan ini dan negara kerana sepanjang hayatnya Allahyarhamah banyak menyumbang jasa kepada Dewan Negara, institusi Parlimen dan rakyat keseluruhannya,” katanya. – Malaysiapost

Komen