Bantuan khusus bagi Gerobok Rezeki, program pengajian Al-Quran – Idris

Bantuan khusus bagi Gerobok Rezeki, program pengajian Al-Quran – Idris

BANTUAN khusus akan diberikan kepada pengurusan masjid dan surau di Wilayah Persekutuan bagi menampung kos pelaksanaan Gerobok Rezeki dan program pengajian Al-Quran kepada warga emas penghuni flat atau Program Perumahan Rakyat (PPR). 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, bantuan khusus tersebut dan beberapa lagi inisiatif lain adalah antara perancangan misi 100 hari kepimpinannya. 

Katanya, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menjalankan tiga fungsi utamanya iaitu menguruskan zakat, wakaf dan sumber am; membangunkan sosioekonomi ummah; serta membangunkan modal insan dengan pelbagai inisiatif. 

Ujar beliau, ia bagi merealisasikan agenda pembangunan ummah secara teransang dan menyeluruh khususnya di wilayah-wilayah Persekutuan. 

“Kehadiran (pegawai tertinggi) MAIWP di pejabat saya sebentar tadi untuk menerangkan dengan lebih terperinci initiatif-inisiatif yang mereka lakukan oleh Encik Mohd Nizam Yahya, Pemangku CEO MAIWP. 

“Antaranya, mereka telah mewujudkan empat Skuad MAIWP iaitu, Skuad Jejak Asnaf, Skuad Jejak Gelandangan, Kaunter Bergerak dan MAIWP Rider Team di samping aplikasi Mobile Jejak Asnaf (MoJA) untuk menjejaki golongan asnaf,” katanya dalam hantaran di Facebook. 

Idris berkata, terkini, Pusat Pemberian Vaksin Bergerak MAIWP (PPV-MAIWP) diadakan untuk memastikan asnaf tidak terpinggir untuk mendapatkan vaksin.  

“Sebanyak 15,000 dos disediakan untuk mereka dan PPV Bergerak MAIWP masih bergerak di empat lokaliti bermula 4 Ogos lalu hingga 11 September ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen