Jakim sediakan SOP baharu solat jemaah

Jakim sediakan SOP baharu solat jemaah

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menyediakan ketetapan baharu prosedur operasi standard (SOP) berkaitan solat berjemaah di masjid dan surau untuk panduan negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, cadangan itu sejajar dengan hasrat kerajaan mempersiap negara memasuki fasa endemik Covid-19 pada penghujung Oktober ini, selepas 80 peratus penduduk menerima dos lengkap vaksin.

Idris berkata, beliau akan bertemu dengan mufti, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat, bagi membincangkan cadangan yang boleh diperhalusi, termasuk memberi ruang lebih luas untuk solat berjemaah di masjid dan surau dengan langkah keselamatan yang rapi.

“Selain itu, cadangan untuk menjadikan lebih banyak surau biasa, termasuk surau di pejabat sebagai tempat mendirikan solat Jumaat, juga akan turut dibincangkan bersama pihak berkuasa agama negeri.

“Kerajaan memberi perhatian serius terhadap kemudahan solat berjemaah di masjid dan surau serta aktiviti berkaitannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketetapan yang akan dibuat kelak turut mengambil kira titah nasihat, pandangan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong serta Sultan dan Raja negeri-negeri yang bertanggungjawab mengenai urusan hal ehwal Islam di negara ini.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberi jaminan akan terus berusaha bersama pihak berkuasa agama negeri dalam perkara berkaitan hal ehwal agama Islam, agar dapat dilaksanakan dengan lebih teratur serta menurut lunas perundangan.

“Saya amat berharap agar masyarakat khususnya umat Islam memahami sebarang keputusan yang akan dibuat oleh pihak kerajaan dalam setiap perkara, keselamatan rakyat perkara yang paling menjadi keutamaan,” katanya. – Malaysiapost

Komen