Lingard teruja bermain bersama idola

Lingard teruja bermain bersama idola

JESSE Lingard tidak dapat menyembunyikan perasaanya apabila buat pertama kali dapat beraksi bersama dengan Cristiano Ronaldo dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Newcastle, awal pagi tadi. 

Pemain Manchester United berusia 28 tahun itu sangat teruja kerana dapat bergandingan dengan idolanya sejak kecil ketika menumpaskan Newcastle 4-1 di Old Trafford. 

Malah Lingard yang turut menjaringkan satu gol dalam perlawanan itu menciapkan satu hantaran penuh inspirasi di Twitter sebaik perlawanan berakhir. 

“Impikan perkara yang besar anak muda,” ciapnya. 

Lingard sewajarnya berbangga kerana akhirnya berjaya bermain bersama idolanya yang tampil dalam debut keduanya bersama United kali ini. 

Lingard menyertai akademi Manchester United pada 2000, manakala Ronaldo tiba di Old Trafford sebagai pemain muda berpotensi tiga tahun kemudian.

Dalam perlawanan menentang The Magpies, Lingard tampil dari bangku pemain simpanan untuk menggantikan Jadon Sancho dan beraksi selama 24 minit.

Tempoh tersebut sudah cukup untuk dia meletakkan dirinya dalam senarai penjaring pada lewat permainan untuk melengkapkan kemenangan 4-1.

Dalam perlawanan itu, Ronaldo menjaringkan dua gol sekali gus membuktikan kewibawaan pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or yang masih tangkas biarpun telah berusia 36 tahun. – Malaysiapost

Komen