MyCar bantu 1,000 pekerja gig-ekonomi, bekas petugas media

MyCar bantu 1,000 pekerja gig-ekonomi, bekas petugas media

TERPANGGIL untuk membantu golongan yang terkesan akibat Covid-19, syarikat MyCar Platform Apps Sdn Bhd hari ini menghulurkan bantuan Bakul Makanan kepada 1,000 pekerja gig-ekonomi dan bekas petugas media.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCar, Mohd Noah Maideen berkata selaku syarikat penyedia perkhidmatan penghantar dan e-hailing kepada penduduk di Lembah Klang, pihaknya terpanggil untuk berkongsi rezeki kepada golongan memerlukan.

“Bakul sumbangan ini sebagai usaha jitu menyantuni pekerja gig-ekonomi dan bekas pekerja media yang selama ini banyak membantu MyCar dalam menggerakkan perniagaan e-hailing ini.

“Ada antara penerima ini sudah lama hilang pekerjaan dan masih tidak mempunyai pekerjaan tetap, ditimpa pula dengan musibah dibuang kerja tatkala berdepan wabak maut ini,” katanya.

Majlis itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed di Putrajaya Sentral hari ini.

Bantuan bakul makanan itu disasarkan untuk 400 penerima yang memerlukan di Lembah Klang.

Mohd Noah berkata bantuan bakul makanan itu akan diberikan secara berperingkat kepada golongan yang dikenalpasti.

Katanya, bakul makanan itu mengandungi keperluan harian antaranya beras, minyak, susu, gula, kicap, sos dan sebagainya.

Sementara itu bercakap kepada pemberita selepas majlis tersebut, Mohd Noah berkata pihaknya akan memperluaskan inisiatif itu ke seluruh negara dengan menyasarkan 1,000 pemandu e-hailing secara berfasa.

“Sebelum pandemik kita tawar 12 peratus komisen dari setiap tambang kepada pemandu MyCar, tapi akibat pandemik kita hentikan seketika tetapi mengambil kira kebajikan pemandu, kita tawarkan lima peratus komisen yang akan membantu pemandu ketika ini yang mana merentas negeri di Lembah Klang sudah dibuka.

“Kita akan cuba tolong dan jaga semua pemandu kita dari segi kebajikannya semasa Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Mustapa berharap lebih banyak syarikat swasta tampil menghulurkan bantuan sedemikian dalam memastikan survival golongan pekerja gig-ekonomi.

“Saya ucapkan tahniah kepada penganjur (MyCar) yang menghulurkan bantuan bakul makanan ini kerana kerajaan tak mampu buat segala-galanya dan bantuan dari swasta amat dialu-alukan.

“Saya difahamkan MyCar pesat berkembang sejak ditubuhkan pada 2018 namun kini tinggal 10 peratus sahaja akibat Covid-19 yang mana 12,000 kenderaan MyCar di atas jalan dan 7,000 beroperasi di Lembah Klang,” ujarnya. – Malaysiapost

Komen