Peminat sokong Anuar Zain sertai jemaah tabligh

Peminat sokong Anuar Zain sertai jemaah tabligh

PENYANYI terkenal, Anuar Zain, 51, menjadi perhatian ramai selepas dikatakan menyertai jemaah tabligh bersama pengacara dan pelawak Nabil Ahmad.

Menerusi satu video yang tular di media sosial, penyanyi lagu ‘Mungkin’ itu dilihat bersama Nabil bersarapan di sebuah masjid di Selangor.

Video yang dimuatnaik di laman TikTok itu kemudian dikongsi di Facebook dan menerima pujian netizen yang menyukai perubahan penyanyi bersuara lunak itu.

Dalam video berkenaan, Anuar yang memakai jubah berwarna biru dan berkopiah dilihat menuang teh tarik ke dalam beberapa gelas sambil menyanyikan lagu popularnya, Lelaki Ini dengan cukup ceria.

Malah, nyanyiannya itu sebagai memenuhi permintaan Nabil yang sedang bersarapan dengan ahli jemaah tabligh lain.

Rata-rata netizen memuji penampilan Anuar dan berharap lebih ramai penggiat seni akan turut sertai mendalami ajaran Islam.

“Subhanallah, dalam diam-diam Anuar Zain ye. Tahniah… makin ramai artis dah berhijrah,” kata Ashraff Mukhriz Solahuddin.

“Alhamdulillah.. sesungguhnya “keabadian cinta” hanya untuk Allah,” kata Lita Yaacob.

Terdahulu, media melaporkan bahawa Anuar kini dalam proses belajar mendalami ilmu agama.

Penyanyi itu kini sedang mendalami ilmu agama dengan mengikuti kumpulan tabligh dan keluar berdakwah sebagai proses mendalami ilmu Islam. – Malaysiapost

Komen