Tok Mat selamba solat jumaat di luar masjid

Tok Mat selamba solat jumaat di luar masjid

GAMBAR tular Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan menunaikan solat Jumaat di luar pekarangan sebuah masjid telah mencuri perhatian netizen di media sosial.

Tanpa menghiraukan status kayangannya, bekas Menteri Besar itu tidak segan silu menunaikan solat Jumaat di luar pagar sebuah masjid di Negeri Sembilan.

Mungkin satu kebetulan, situasi ini begitu ironi dengan insiden layanan dua darjat melibatkan jemaah ketika mahu menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra, Putrajaya baru-baru ini.

Gambar yang tular itu memaparkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau itu sedang khusyuk duduk beralaskan sejadah yang dibawa dan dibentang di atas jalan betul-betul di hadapan pintu pagar masjid.

Mungkin beliau yang mesra disapa sebagai Tok Mat tiba lewat di masjid dan terpaksa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang hanya membenarkan jumlah jemaah terhad untuk memasuki rumah ibadat itu.

Tinjauan di ruangan komen, rata-rata netizen memuji sikap rendah diri yang ditunjukkan beliau.

“Yang penting solat, hebat Tok Mat dan patut dicontohi oleh kita semua.

“Sempoi lah Tok Mat, tunjuk sifat rendah diri, siapalah kita bila bertemu Allah.

“Ini patut kita contohi. Tiada bezanya kita sesama makhluk Allah. Yang penting kewajipan kena laksanakan,” kata netizen.

Selepas selesai solat, kehadiran bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu disedari jemaah masjid dan pihak pengurusan masjid sempat bergambar dengan beliau. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen