Ahli Parlimen diseru rapatkan saf, ketepikan perbezaan politik – PM

Ahli Parlimen diseru rapatkan saf, ketepikan perbezaan politik – PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob  menyeru semua Ahli Parlimen tanpa mengira pandangan politik, untuk merapatkan saf demi memulihkan negara dan mensejahterakan semula kehidupan rakyat.

Beliau turut menzahirkan kesyukuran kerana Parlimen dapat memulakan persidangan Penggal Keempat Parlimen Ke-14, bermula hari ini sehingga 12 Oktober depan.

“Seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah, semua pihak hendaklah mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan. 

“Menjunjung titah Tuanku, inilah semangat yang dibawa dalam Keluarga Malaysia yang menekankan perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan untuk mengharungi pelbagai cubaan dan dugaan,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, beliau berharap persidangan kali ini dapat berjalan dengan lancar demi kepentingan rakyat dan negara.

“Oleh itu, saya menyeru semua Ahli Parlimen tidak mengira pandangan politik, untuk sama-sama merapatkan saf demi memulihkan negara dan mensejahterakan semula kehidupan rakyat,” katanya. 

Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 membuka tirainya hari ini dengan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, pagi tadi.

Sidang Parlimen ini adalah yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Ismail Sabri.

Berdasarkan takwim mesyuarat Dewan Rakyat, persidangan kali ini akan berlangsung selama 17 hari sehingga 12 Oktober. – Malaysiapost

Komen