Cadangan semakan SOP masjid wajar – PUM

Cadangan semakan SOP masjid wajar – PUM

PERSATUAN Ulama’ Malaysia (PUM) menyambut baik usaha kerajaan dan pihak berkuasa agama untuk menyemak kembali serta membuat ketetapan baharu mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi masjid dan surau termasuk soal bilangan dan kehadiran jemaah.

Yang di-Pertuanya, Datuk al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata ia susulan langkah diambil Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad untuk membuat semakan tersebut.

Ini katanya, berdasarkan kepada permintaan dikeluarkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), selaras dengan perkembangan semasa peralihan fasa diumumkan kerajaan berasaskan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Sehubungan itu, semakan semula ini amatlah wajar kerana terdapat beberapa isu di mana rakyat amat merindui kesempatan untuk hadir solat di masjid dan surau.

“Kejadian yang tular pada Jumaat lalu menunjukkan betapa rakyat sanggup menunggu untuk melaksanakan kewajipan solat di masjid,” katanya menerusi kenyataan.

Abdul Halim berkata, pihaknya juga sedar peraturan sedia ada perlu dihormati semua pihak termasuk had jumlah dibenarkan ke masjid serta proses pendaftaran kerana peraturan tersebut diperkenankan oleh Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama di peringkat persekutuan dan Raja-Raja Melayu yang mengetuai urusan hal ehwal agama negeri-negeri.

Beliau berkata, oleh kerana urusan agama tertakluk kepada Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, maka rakyat mestilah memahami keadaan ini di mana baginda begitu prihatin soal keselamatan dan kesihatan rakyat.

Katanya, perkenan daripada Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku adalah diperlukan dalam sebarang perubahan SOP berkaitan agama.

“Justeru, PUM ingin menasihatkan jemaah yang tidak mendapat panggilan untuk solat di masjid atau tidak dibenarkan masuk kerana had bilangan ditetapkan telah mencukupi, sewajarnya melakukan solat di tempat masing-masing.

“Mereka yang tidak dapat solat Jumaat itu tidaklah dianggap berdosa di atas tindakan tersebut kerana kewajipan pihak berkuasa untuk mencegah penularan Covid-19 adalah lebih utama.

“Tindakan pengawalan ini termasuk di dalam Maqasid Syariah, iaitu Hifz al-Nafs (menjaga nyawa).

“Bagaimanapun, cadangan Menteri Agama untuk berbincang bersama Sahibus Samahah Mufti-Mufti amatlah tepat sekali bagi mencapai kata sepakat yang boleh dipersembahkan kepada Sultan negeri-negeri selaku Ketua Agama bagi negeri masing-masing,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, insiatif untuk berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) juga perlu dilakukan segera bagi mendapatkan persetujuan SOP baharu masjid dan surau, sebelum dipersembahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu bagi mendapat perkenan baginda.

“Apa yang menarik perhatian kami adalah kesediaan kerajaan untuk mencadangkan agar surau-surau di beberapa lokasi seperti di pejabat atau di taman-taman perumahan dapat diberi kelulusan sementara bagi melakukan solat Jumaat berdasarkan SOP ditetapkan.

“Ini pasti memberi ruang yang lebih kepada rakyat untuk melaksanakan kewajipan solat Jumaat dalam suasanya pandemik ini.

“Berdasarkan SOP baru yang bakal diperkenalkan nanti, PUM percaya usaha ini akan dapat memberi impak terutama dari aspek kesejahteraan psiko-spiritual rakyat yang sangat memerlukan kekuatan rohani buat masa ini setelah sekian lama terhalang untuk melakukan ibadat di masjid dan surau,” katanya.- Malaysiapost

Komen