Elliot perlu jalani pembedahan

Elliot perlu jalani pembedahan

LIVERPOOL mengesahkan pemain mudanya, Harvey Elliot telah dibenarkan keluar dari hospital setelah mengalami kecederaan pergelangan kaki yang serius dalam perlawanan menentang Leeds United lewat malam tadi.

Pemain berusia 18 tahun itu mengalami kecederaan itu selepas diterjah oleh pemain Leeds, Pascal Struijk pada pertengahan babak kedua perlawanan yang menyaksikan Liverpool menang 3-0.

“Elliott akan menjalani pembedahan dalam beberapa hari akan datang,” menurut kenyataan di laman web Liverpool.

Dalam insiden itu, penyerang Liverpool, Mohamed Salah adalah pemain pertama menyedari kecederaan serius buku lali Elliot yang kelihatan ‘terpusing’ menyebabkan dia segera memanggil pasukan perubatan.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dan barisan pemain The Reds termasuk yang berada di bangku turut kelihatan terkejut melihat situasi dialami pemain muda tersebut.

Dalam perlawanan di Elland Road itu, jaringan Salah, Fabinho dan Sadio Mane memastikan Liverpool mengutip 10 mata daripada empat aksi, berkongsi tangga teratas bersama Manchester United dan Chelsea. – Malaysiapost

Komen