Keluarga Chan Peng Cheong cetus inspirasi warga ATM

Keluarga Chan Peng Cheong cetus inspirasi warga ATM

BAPA borek anak rintik, itulah perumpamaan tepat yang dapat digambarkan kepada keluarga tentera ini.

Bagi seorang bapa, tiada apa yang menjadi kebanggaannya selain melihat anak mengikut jejak langkahnya memilih tentera sebagai kerjaya.

Namun, bagi Laksamana Muda Chan Peng Cheong, kejayaan tiga orang anaknya mencipta pelbagai kejayaan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah sesuatu yang tidak disangka sama sekali.

Menurutnya, sebagai seorang bapa, beliau tidak pernah menetap dan memaksa anak-anaknya memilih ATM sebagai kerjaya masa hadapan mereka.

Kisah kejayaan luar biasa keluarga ATM ini telah dikongsi oleh Kementerian Pertahanan di Facebook rasminya hari ini.

Anak sulungnya, Lt Chan Jun Shen TLDM merupakan bekas pelajar Maktab Tentera Diraja pada tahun 2003-2006 dan seterusnya melanjutkan pengajian tinggi di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal.

Beliau yang kini merupakan Timbalan Pegawai Jurutera Udara Skuadron 502 pernah mencipta sejarah menjadi peserta Ironman termuda Malaysia pada umur 18 tahun 1 bulan 24 hari.

Selain bertanggungjawab memastikan rutin penyelenggaraan pesawat berada dalam prestasi yang optima, dia juga aktif dalam sukan Ironman dan telah berjaya menamatkan 9 kali kejohanan Ironman.

Manakala, anak kedua Laksamana Muda Peng Cheong iaitu Kapten (Dr) Chan Jun Win pula telah memilih bidang perubatan dan telah menjadi doktor dalam Angkatan Tentera Malaysia.

Dr Jun Win merupakan bekas pelajar Maktab Tentera Diraja pada tahun 2008-2009 dan merupakan pemenang Hadiah Bekas Putera 1 sekaligus melayakkannya menerima tawaran biasiswa daripada Kementerian Pertahanan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Perubatan dan telah menerima Ijazah Sarjana Muda Perubatan Am dari Volgograd State Medical University, Russia.

Kini, Dr Jun Win bertugas sebagai Pegawai Perubatan Rejimen di Batalion Keempat Rejimen Askar Melayu Diraja yang lebih dikenali sebagai Gurkha Malaya.

Anak bongsu dari tiga beradik ini iaitu Lt Ts. Chan Jun Kwan TLDM juga merupakan bekas pelajar Maktab Tentera Diraja pada tahun 2010-2011.

Jun Kwan merupakan pemenang Hadiah Komandan sebagai Putera Terbaik Keseluruhan.

Hasil daripada kejayaan itu, dia telah mendapat tawaran biasiswa penuh daripada kerajaan Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajaran ke United States Naval Academy (USNA) dan ditauliahkan sebagai Leftenan Muda TLDM pada tahun 2016 dengan kelulusan BSc in Aerospace Engineering.

Jun Kwan juga telah menjadi first crew TLDM yang terlibat dalam eksesais maritim terbesar di dunia iaitu Rim of the Pacific (RIMPAC) yang dianjurkan di Pearl Harbor, Hawaii.

Selain itu, dia juga telah mengetuai projek Kumpulan Inovatif & Kreatif yang bertajuk “Damage Control Floating Bag” di pertandingan inovasi antarabangsa di RIMPAC dan dinobatkan sebagai Johan keseluruhan sekaligus telah menerima Anugerah Khas Inovasi daripada Kementerian Pertahanan.

Jun Kwan kini merupakan seorang License Aircraft Engineer sebagai Timbalan Pegawai Jurutera Udara di SKUADRON 501 (Super Lynx) akan melanjutkan pengajian ke peringkat Master di Cranfield University dalam masa terdekat susulan memenangi biasiswa penuh iaitu Chevening Scholarship 2021/2022 daripada Kerajaan United Kingdom.

Kejayaan yang diperolehi oleh keluarga Laksamana Muda Chan Peng Cheong ini boleh dijadikan sumber inspirasi yang telah membuktikan tiada apa yang mustahil untuk dicapai. – Malaysiapost

Komen