Kerajaan meterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik bersama PH

Kerajaan meterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik bersama PH

KERAJAAN Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH), hari ini telah melakar satu sejarah negara dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata memorandum itu, membentuk satu kerjasama ‘dwi-partisan’ yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia.

Menurutnya, ia selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Sha, sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Majlis Parlimen ke-14, 2021 di Parlimen, hari ini.

“Titah hasrat Baginda Tuanku, semua pihak perlu mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan demi mencapai matlamat Malaysia Makmur, Inklusif dan Mampan.

“Semangat Keluarga Malaysia yang menekankan perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan inilah yang dizahirkan dalam MoU oleh kerajaan dan Ahli-ahli Yang Berhormat pada petang ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, transformasi yang diperkenalkan itu bukan sahaja mendorong kepada tadbir urus yang cemerlang dalam memerangi Covid-19.

“Ia juga bagi pemulihan ekonomi, bahkan memangkin iklim pelaburan yang kondusif, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang kukuh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimaktubkan hari ini merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19; transformasi pentadbiran; pembaharuan Parlimen; kebebasan institusi kehakiman; Perjanjian Malaysia MA63; dan pembentukan Jawatankuasa Pemandu,” katanya.

Ismail Sabri berkata, kerajaan yakin MoU yang dizahirkan ini bukan sahaja berupaya mengenepikan segala perbezaan politik, bahkan mampu memastikan pemulihan negara berjalan secara holistik dan inklusif.

“Setinggi penghargaan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah membulatkan tekad, mengenepikan perbezaan ideologi politik untuk bersama-sama memacu kestabilan ekonomi dan kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

Komen