Tidak semua sekolah dibuka pada 3 Oktober – Radzi Jidin

Tidak semua sekolah dibuka pada 3 Oktober – Radzi Jidin

KEMENTERIAN Pendidikan menjelaskan sesi pembelajaran bersemuka bermula 3 Oktober ini dibuat secara berperingkat mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata berlaku salah faham apabila maklum balas orang ramai termasuk di media sosial seolah-olah sekolah di seluruh negara dibuka pada tarikh tersebut.

“Jadi saya hendak jelaskan secara umum yang maklumat mendalam itu telah kita perincikan dan boleh dirujuk dalam dokumen yang kita sertakan (dalam sidang akhbar) semalam,” katanya menerusi video di Facebook, hari ini.

Menurutnya, bagi negeri Fasa 2 hanya murid berkeperluan khas di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) akan kembali ke sekolah bagi kategori sekolah rendah.

Bagi kategori sekolah menengah hanya murid Tingkatan 6 semester dua yang akan hadir kerana mereka akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada akhir Oktober.

“Bagi negeri Fasa 3, selain SKPK dan PPKI, murid prasekolah akan dibenarkan hadir ke sekolah, manakala untuk sekolah menengah pula, ia melibatkan murid Tingkatan 5 dan calon STPM yang lain.

“Bagi negeri Fasa 4 bermula dua minggu pertama daripada 3 hingga 17 Oktober murid yang akan berada di sekolah sama seperti Fasa 3. Kemudian dari 17 hingga 31 Oktober, kita akan tambah untuk sekolah rendah, iaitu murid dari Tahun 1, 2 dan 3 yang bermula pada 17 Oktober,” katanya.

Sementara itu, murid Tahun 4, 5 dan 6 akan kembali ke sekolah pada penghujung Oktober manakala bagi sekolah menengah negeri Fasa 4 bermula 3 hingga 17 Oktober yang akan masuk sama dengan pelajar Fasa 3.

Selepas 17 Oktober, pelajar yang akan hadir ke sekolah dari Tingkatan 3 dan 4. Dua minggu selepas itu bermula 31 Oktober, pelajar Tingkatan 1 dan 2 pula akan hadir ke sekolah.-Malaysiapost

Komen