Tolong jangan bising, marah kerajaan lepas ini

Tolong jangan bising, marah kerajaan lepas ini

KELONGGARAN baru dinikmati selepas lama berkurung di rumah seolah-olah tidak dihargai segelintir masyarakat yang dilihat ‘lupa’ mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Melahirkan kekesalannya, pelawak terkenal Harith Iskander berkata ada individu yang tidak memakai pelitup muka ketika berkunjung ke kawasan tumpuan di Lembah Klang susulan peralihannya ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PMN), berkuat kuasa Jumaat lalu.

“Jangan bising pada kerajaan jika kes meningkat.

“Semua yang dalam klip ini (dan yang tak ada dalam klip ini) yang tak pakai pelitup muka dan tak ikut SOP waktu keluar ke tempat awam. Tolong JANGAN bising dan marahkan ‘kerajaan’ bila kes naik lagi!” katanya di Instagram.

Harith yang juga jurucakap motivasi turut menaikkan beberapa klip video memaparkan orang ramai yang sudah lengkap divaksin keluar beriadah beramai-ramai.

Malangnya, mereka yang kelihatan sedang seronok beriadah dalam video tersebut bersikap sambil lewa terhadap pematuhan SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kerajaan dah beri garis panduan dan cadangan. Dah 2 tahun kita dengar mesej yang sama pasal SOP. Sebagai rakyat kita perlu patuh dan ikut.

“Saya sokong pembukaan industri dan sektor ekonomi. Kita perlu kembali bekerja. Tapi ia terletak pada kita juga untuk tidak membinasakan diri kita sendiri,” katanya.

Perkongsian Harith itu telah menarik perhatian Datuk Redzuawan Ismail atau lebih mesra di panggil Chef Wan yang turut memberi pandangannya terhadap perkara berkenaan.

“Benar rakyat kita sangat degil gila. Dengan banyak kematian pun, mereka tak peduli. Tak fikir pendapatan mereka akan terjejas

“Semua tak sabar-sabar. Segala nasihat dan bantuan kita lakukan pada mereka macam curah air atas daun keladi.

“Ini lah betul-betul sikap manusia kepala batu yang Allah nak tunjukkan… Nak buat macam mana bro,” katanya.

Hujung minggu lalu, warga kota seolah-olah melepaskan geram akibat lama terkurung di rumah dengan melakukan aktiviti luar seperti bermandi-manda di pantai dan sungai.

Dilaporkan, beberapa tempat tumpuan seperti Pantai Morib, Pantai Remis, Jeram dan Hutan Lipur Hulu Langat sesak dengan kehadiran pengunjung. – Malaysiapost

Komen