‘Ada MP Bersatu, Bebas bantah pencalonan Ahmad Maslan’ – Puad

‘Ada MP Bersatu, Bebas bantah pencalonan Ahmad Maslan’ – Puad

PEMILIHAN Timbalan Speaker Dewan Rakyat terpaksa ditangguhkan hari ini kerana didakwa terdapat Ahli Parlimen dari blok kerajaan menolak pencalonan Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata alasan Ahmad adalah ‘kluster mahkamah’ menjadi punca utama segelintir Ahli Parlimen Bersatu dan bebas membantah pencalonan Ahli Parlimen Pontian itu sebagai Timbalan Yang Dipertua Rakyat yang baharu.

“Sehari selepas Memorandum Persafahaman Kerajaan-PH dimeterai, suhu politik kembali panas. Katanya MP (Ahli Parlimen) Bersatu dan 4 Bebas menolak pencalonan Ahmad Maslan sebagai calon kerajaan.

“Sudah tentu pihak yang berdendam terhadap Ahmad Maslan menjadi dalangnya. Dan sudah tentu kluster mahkamah dijadikan alasan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas mengenainya, Mohd Puad mendakwa kerajaan terpaksa berunding dengan blok Pakatan Harapan (PH) supaya bersetuju menangguhkan perkara itu.

“Kenapa double standard? Memorandum yang dimeterai melibatkan DAP. Apakah Lim Guan Eng bukan kluster mahkamah? Dia naik atas pentas mewakili DAP semalam.

“Kerana bimbang Nga Kor Ming calon DAP menang percuma, katanya Kerajaan minta ehsan PH supaya bersetuju mengeluarkan agenda memilih Timbalan Speaker daripada senarai aturan Parlimen hari ini.

“Susulan itu, pindaan Perlembagaan akan dibuat untuk menambah jawatan Timbalan Speaker kepada 3 orang. Satu darinya akan diberi pada DAP jika sokong pindaan itu,” katanya.

Justeru, Mohd Puad berharap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri dapat mengatasi kemelut terbaharu ini dengan lebih tegas dan bijak.

“Bermakna ada tambahan item baru dalam memorandum persefahaman Kerajaan-PH. Politiking berterusan.

“Semoga Perdana Menteri tidak membiarkan dirinya nampak lemah dan mudah ditekan. Membimbangkan, sampai tahap pinda perlembagaan,” katanya. -Malaysiapost

Komen