Jangan persiakan kelonggaran kerajaan, elak gelombang baharu Covid-19

Jangan persiakan kelonggaran kerajaan, elak gelombang baharu Covid-19

Nilam Oshman

ORANG ramai diingatkan untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika melakukan aktiviti beriadah bersama keluarga bagi menggelak berlakunya gelombang baharu Covid-19.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata keprihatinan kerajaan kepada rakyat dengan memberi kelonggaran dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri-negeri Fasa 1 termasuk membenarkan aktiviti rentas daerah, patut dihargai.

Justeru, orang awam jangan mempersia-siakan peluang yang diberikan, sentiasa mengamalkan SOP supaya negara dapat segera keluar daripada wabak Covid-19 ini.

“Kita sebagai orang awam kena berhati-hati apabila kerajaan dah bagi kebenaran, janganlah melampau.

“Pertama, pilih tempat yang tidak menjadi tumpuan orang ramai, jika sesuatu kawasan beriadah itu terdapat ramai orang, elakkan pergi ke situ.

“Kedua, perlu melihat tempat itu adakah mengikuti SOP seperti imbas MySejahtera, menyediakan pemeriksaan suhu badan, ada sanitizer dan memastikan semua orang memakai pelitup muka tidak kiralah taman atau kedai makan, mesti wajib pastikan perkara ini,” katanya kepada Malaysiapost.

Dr Zainal Ariffin berkata beliau sendiri keluar melakukan aktiviti hujung minggu namun mengambil langkah berhati-hati serta memastikan SOP ditentukan dipatuhi.

“Saya pun hari minggu lalu pun ada berjalan-jalan merentas daerah dari Seremban ke Jelebu, nak makan nasi lemak ikan keli dan pergi pusat beli-belah, cuma apa yang penting, semua arahan kerajaan kita ikut.

“Jangan main belasah seperti kita tengok di beberapa tempat awam, rekreasi termasuk pantai diserbu orang ramai, sampai lupa SOP penjarakan fizikal,” katanya.

Selain itu, tambahnya, jika sesuatu tempat itu tidak membenarkan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah untuk masuk, maka pengendali atau pengurus perlu tegas terhadap arahan yang diberikan kerajaan.

“Justeru, penjaga atau ibu bapa juga harus memberi kerjasama,” katanya.

Beliau berkata, walaupun individu yang sudah lengkap divaksinasi, namun risiko jangkitan Covid-19 kepada diri sendiri dan orang lain itu masih ada.

“Malah ia boleh mewujudkan gelombang baharu nanti. Jadi, kita nasihat orang ramai ambil perhatian terhadap hal ini.

“Lagipun, sekarang keadaan pemulihan negara masih belum nampak lagi dengan kes masih lagi banyak jadi jangan kerana kelonggaran diberi, kita sangka dah selamat,” katanya.

Hujung minggu lalu tular di media sosial berlaku kesesakan di kawasan perkelahan, taman rekreasi serta taman-taman awam susulan orang ramai mula keluar bersama keluarga.

Ia berikutan kelonggaran diberikan kerajaan untuk aktiviti-aktiviti tersebut termasuk bagi mereka yang telah lengkap dua dos vaksin. – Malaysiapost

Komen