Kecualikan faedah moratorium, kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ dipuji

Kecualikan faedah moratorium, kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ dipuji

PERUBAHAN tampuk pemerintahan negara mula mendatangkan kesan kebaikan kepada rakyat.

Veteran Umno Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, kerajaan yang dikenali sebagai Keluarga Malaysia pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob lebih ‘mendengar’ dan menerima cadangan yang mendatangkan kebaikan kepada rakyat berbanding kerajaan Perikatan Nasional (PN) dahulu.

“Setapak lagi ke hadapan diambil kerajaan ‘Keluarga Malaysia’.

“Bagi kerajaan PN, dengan diwakili Ahli Parlimen PAS, saranan Datuk Seri Najib bagaikan syarat Puteri Gunung Ledang. Mungkinlah dalam pemikiran feudal, kesusahan rakyat mudah diatasi dengan kedongengan.

“Tak payah pun Datuk Seri Najib bertaraf menteri untuk membawa cadangan ‘practical’ yang mudah dilaksanakan.

“Hanya perlu menteri-menteri sedar diri bahawa mereka semuanya bertaraf menteri dan patut sangat memikirkan kebaikan untuk rakyat,” katanya di Facebook, hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu mengulas susulan kenyataan Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkenaan Kabinet setuju mengarahkan bank agar tidak mengenakan faedah kepada penerima moratorium.

Sementara itu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyindir Tengku Zafrul berikutan saranan yang sering beliau bangkitkan kepada kerajaan PN dahulu, boleh pula diterima di bawah kepimpinan kerajaan baharu.

“Dulu kita suruh beri moratorium pinjaman tanpa faedah, kerajaan lama kata tak ada kuasa untuk arahkan bank.

“Dulu kita suruh naikkan had hutang kerajaan dalam Parlimen bagi memberi lebih ruang untuk bantu rakyat, kerajaan lama kata tiada keperluan sebab bantuan rakyat sudah mencukupi.

“Kini boleh pulak bawah kerajaan baru. Yang menerima manfaat, rakyat,” katanya di Facebook.

Terdahulu, Tengku Zafrul memaklumkan, Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada Jumaat lalu telah bersetuju institusi bank mengecualikan kadar faedah kepada penerima moratorium.

“Ini melibatkan penerima moratorium dari kumpulan 50 peratus terbawah daripada keseluruhan rakyat Malaysia untuk tempoh tiga bulan pada suku keempat 2021,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, Jemaah Menteri bersetuju meningkatkan had siling kumpulan Covid-19 dan had statutori hutang kerajaan. – Malaysiapost

Komen