Keluarga Malaysia tercemar oleh keputusan kejam Peguam Negara – Hannah Yeoh

Keluarga Malaysia tercemar oleh keputusan kejam Peguam Negara – Hannah Yeoh

PERDANA Menteri digesa segera mengarahkan Peguam Negara untuk menarik balik keputusan mengemukakan rayuan terhadap kes pemberian hak kewarganegaraan automatik kepada bayi yang dilahirkan di luar negara oleh ibu kandung berstatus warganegara Malaysia dan pasangan rakyat asing.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, selain itu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga perlu memastikan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menghormati dan melaksanakan keputusan Mahkamah Tinggi ke atas kes tersebut.

Susulan keputusan tersebut, beliau berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah mengambarkan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut sebagai memberi sinar yang jelas dalam peruntukan perlembagaan.

“Manakala Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun pula secara terbuka mengalu-alukan keputusan mahkamah sebagai, ‘memberi sinar baharu kepada aspirasi kelestarian insaniah wanita nasional’.

“Malah beliau turut menambah bahawa keputusan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan mahu mewujudkan kesamarataan untuk golongan wanita.

“Jadi, keputusan Peguam Negara ini dilihat bertentangan dengan kenyataan Menteri Wanita, maka kita juga tertanya-tanya adakah ini sebuah Kerajaan yang berkepala dua atau satu lagi contoh kes Menteri Wanita yang tidak memahami tanggungjawabnya dalam memperjuangkan hak kesamarataan bagi golongan wanita,” katanya menerusi Facebook.

Sehubungan itu, beliau berkata, tindakan tersebut sudah cukup menggambarkan terdapat begitu banyak keputusan yang tidak konsisten dalam kabinet Ismail Sabri dan kelemahan yang paling ketara adalah kegagalan kerajaan dalam melindungi wanita dan kanak-kanak.

“Konsep keluarga besar Malaysia Perdana Menteri kini sedang diuji dan tercemar dengan keputusan yang tidak masuk akal dan kejam oleh Peguam Negara sehingga menimbulkan kesengsaraan dan kekecewaan kepada ramai ibu dan keluarga mereka.

“Ini adalah ujian 100 hari Ismail Sabri bagi membuktikan bahawa beliau mampu untuk menjinakkan kerajaan pelbagai kepala dan membawa kelegaan kepada para ibu dan anak-anak mereka yang menderita,” katanya.

Terdahulu, keputusan penghakiman oleh Hakim Mahkamah Tinggi pada 9 September lalu memutuskan perkara tersebut.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir yang membuat keputusan itu dalam penghakimannya itu. – Malaysiapost

Komen