Langkah kurung rakyat tidak lagi sesuai – PM

Langkah kurung rakyat tidak lagi sesuai – PM

LANGKAH mengurung rakyat melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak lagi dilihat langkah sesuai, malah dikhuatiri mendatangkan lebih banyak implikasi termasuk kesihatan mental.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata susulan itu kerajaan kini memberi keutamaan dalam membuka sektor ekonomi yang dilihat bukan sahaja dapat membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi, tetapi memberi peluang dan ruang untuk rakyat memperbaiki hidup.

Beliau berkata, sehubungan itu adalah wajar kerajaan membuka 11 sektor ekonomi di negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Kerajaan telah mempertimbangkan pembukaan sektor tertentu sebagai salah satu cara untuk memulihkan kembali ekonomi negara kerana kita semua sedia maklum tentang kesusahan rakyat akibat daripada penutupan sektor-sektor ekonomi.

“Pembukaan semula 11 sektor ekonomi di negeri-negeri Fasa 1 PPN adalah wajar berikutan dengan keputusan penerima vaksinasi yang tinggi, malah keputusan ini dibuat dengan mengambil kira data penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengenai ekonomi,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol), mengenai kewajaran pembukaan sektor berkenaan ketika kes harian masih membimbangkan.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera, berkata untuk makluman setakat ini sehingga September 74.7 peratus rakyat dewasa telah menerima dua dos vaksin, manakala untuk satu dos vaksin sebanyak 91.6 peratus rakyat telah menerimanya.

Menurutnya, selain daripada itu sektor-sektor berkenaan dibuka dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk hanya membenarkan pelanggan yang telah divaksinasi lengkap sahaja untuk masuk membuat urus niaga dan mendapatkan perkhidmatan, manakala pekerja di premis berkaitan juga mesti lengkap dua dos vaksin.

Menjawab soalan tambahan dikemukan Mohd Salim, mengenai adakah terdapat pendekatan baharu yang akan dilaksanakan kerajaan bagi melandaikan kes jangkitan baharu agar keselamatan individu tidak divaksin terjamin, beliau menegaskan kawalan kendiri adalah yang paling penting.

“Prosedur operasi standard (SOP) yang ketat perlu dilaksanakan, kita tahu walaupun sudah lengkap vaksinasi masih boleh dijangkiti dan masih boleh menjangkiti. Kawalan kendiri yang paling penting. Rakyat mesti berdisplin untuk kawalan kendiri dari segi menjaga SOP.

“Baru-baru ini hari pertama dibuka kita lihat ditempat percutian penuh tidak ada pemakaian pelitup muka pun. Maknanya masa depan negara kita dari segi Covid-19 ini bergantung kepada kita sendiri dan tidak boleh mengharap vaksin semata-mata tetapi kawalan kendiri sangat penting, kalau tidak ia akan menjadi sia-sia sahaja,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Seri Safiuddin Nasution Ismail bertanyakan soalan tambahan kedua kenapa lantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) walaupun rekodnya menunjukkan kegagalan.

Beliau kemudian turut bertanyakan pendekatan digunakan oleh kerajaan dalam membuat keputusan membenarkan sektor ekonomi dibuka.

“Dari segi MPN yang dipengerusikan Muhyiddin memang Ahli Parlimen Pagoh telah mempengerusikannya sejak daripada mula MPN diwujudkan sebab itu beliau diberi kepercayaan untuk meneruskan tugasnya.

“Pembukaan sektor adalah berdasarkan sains dan data. Kita lihat kluster daripada sektor ekonomi yang kita buka. Sebagai contoh ramai yang mengatakan gunting rambut dan salon kecantikan berbahaya, namun sepanjang tahun lalu hanya satu atau dua kes sahaja membabitkan sektor berkenaan.

“Begitu juga dengan kedai cuci kereta, ramai yang mengatakan pekerjanya warga Bangladesh dan sebagainya tentu jangkitan lebih mudah tetapi sepanjang 2020 tidak ada satu pun kes membabitkan kedai cuci kereta,” katanya.

Beliau berkata, maka daripada data-data berkenaan menyebabkan kerajaan fokus kepada pembukaan sektor-sektor tertentu walapun di masih lagi ada kluster lain. – Malaysiapost

Komen