Lebih 74% penduduk dewasa lengkap vaksin Covid-19

Lebih 74% penduduk dewasa lengkap vaksin Covid-19

JUMLAH dos vaksin Covid-19 menghampiri 39 juta dos iaitu 38,990,335 membabitkan dos tunggal dan dua dos diberi, setakat semalam.

Angka itu menjadikan peratusan populasi dewasa Malaysia yang sudah divaksinasi adalah 74.7 peratus.

Berdasarkan infografik dikongsi Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) di Facebook, jumlah individu yang menerima satu dos vaksinasi adalah 21,573,348 manakala dos kedua adalah 17,480,766 orang.

Peratusan populasi keseluruhan yang menerima satu dos vaksin Covid-19 setakat ini adalah 65.5 peratus dan bagi yang lengkap dua dos vaksin pula adalah 53.5 peratus.

Populasi dewasa pula yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksinasi adalah 91.6 peratus.

Lembah Klang mencatatkan peratusan melebihi 100 peratus bagi populasi yang sudah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 iaitu 103.4 peratus.

Ia diikuti Labuan (97.5), Negeri Sembilan (88.9) dan Sarawak (88.8) peratus populasi dewasa yang sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19.

Sementara itu, vaksinasi harian semalam merekodkan 227,147 pemberian dos dengan 69,235 daripadanya adalah dos pertama manakala 157,912 telah melengkapkan penerimaan dos. – Malaysiapost

Komen