MoU bipartisan tidak mengubah peranan Kerajaan, pembangkang

MoU bipartisan tidak mengubah peranan Kerajaan, pembangkang

MEMORANDUM Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) adalah sejajar dengan tuntutan semasa iaitu kestabilan politik sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan berkata, persefahaman ini tidak bermaksud kedua-dua pihak akan terus memadam sebarang perbezaan antara parti, ataupun kerajaan berkongsi kuasa memutuskan sesuatu.

“Sepertimana disebut oleh Anthony Loke sendiri, ini tidak bermaksud pembangkang akan berhenti menjadi pembangkang, jauh sekali menjadi sebahagian Kerajaan.

“Saya yakin pembangkang masih akan menjalankan peranan mereka mengkritik dan memberi semak imbang kepada Kerajaan. Mereka tidak akan lepaskan lesen tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keputusan akhir apa sahaja dasar masih ditangan Kerajaan – dan pembangkang juga memahami hakikat berkenaan.

Katanya, pengisian penuh persefahaman ini akan diteliti, namun di peringkat awal ia memberi harapan bahawa Kerajaan dan pembangkang dapat bekerjasama mengamalkan demokrasi bermusyawarah terutamanya dalam Parlimen ke arah melahirkan keberhasilan yang terbaik untuk rakyat melalui kestabilan politik.

“Contohnya, dengan pembabitan pembangkang dalam jawatankuasa pilihan khas di Parlimen. Atau pembabitan dalam pelan memerangi Covid-19.

“Walaupun yang buat keputusan tetap Kerajaan, dengan pembabitan pembangkang dalam perbincangan atau idea, tentunya ia membantu ke arah mereka menyumbang kepada kestabilan politik yang menjadi isu pokok kebelakangan ini,” katanya.

Shahril berkata, dari segi konsepnya, kerjasama bipartisan bukan perkara baharu – cuma kali ini diperhebat dan kaedahnya lebih formal daripada biasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebahagian dari reformasi institusi yang lewat ini juga semakin banyak diperjuang oleh Umno dan pemimpinnya seperti Datuk Seri Azalina Othman Said, akan dapat dilaksanakan.

“Sebelum ini soal “reform” dan pembaharuan kerap dilaungkan oleh Pakatan Harapan, tetapi kali ini Umno boleh lebih kehadapan mempeloporinya,” katanya.

Menyentuh mengenai tanggapan bahawa pendirian Umno iaitu “No DAP No Anwar” sudah lapuk, Shahril berkata, apa yang disebut di Perhimpunan Agung Umno (PAU) bukan sekadar “No DAP, No Anwar” malah juga disebut “No PPBM” pada PRU15.

“Jika ada sebarang perubahan dasar, ia hanya boleh dibuat oleh PAU atau Majlis Kerja Tertinggi. Seperti disebut diatas, persefahaman ini bukan kerjasama untuk berkongsi kuasa dengan PH, jauh sekali untuk mengangkat mereka menerajui negara,” katanya.

Sementara itu, Shahril berkata, tahap skeptikal antara kerajaan dan Pembangkang tidak hilang sekelip mata.

Beliau berkata, masing-masing akan melihat tindakan pihak lain dan masih ada ruang untuk PH tidak mengotakan janji membantu Kerajaan.

Sehubungan itu, beliau amat bersetuju dengan pandangan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah yang mengingatkan agar Kerajaan berwaspada.

“Ia bukan lesen untuk selesa di tampuk kuasa menganggap takkan dikritik mahupun dibangkang,” katanya.

Shahril berkata, beliau berharap rakyat dan negara mendapat keuntungan daripada persefahaman ini melalui dasar yang dilaksana dan kestabilan yang tercapai, jikapun untuk seketika.

“Hal PH itu biarlah wakil PH yang hujahkan, sama ada mereka mahu dilihat matang, berkorban demi rakyat atau naratif lain – masih belum jelas setakat ini.

“Tetapi dari sudut Umno dan BN, kita mampu mendapat kelebihan kerana buat ketika ini Kerajaan pimpinan Umno diberi ruang mentadbir.

“Jika orang lain mahu menyokong pentadbiran Umno atas sebab mereka sendiri, dan selagi kita boleh merasionalkan tuntutan mereka tidak mencederakan rakyat atau melangkaui batasan parti, kita uruskan-lah ke arah kelebihan sendiri juga,” katanya.

Sehubungan itu, Shahril meminta ahli Umno memberi peluang dan ruang melihat sebarang persefahaman yang memperkuat kedudukan kerajaan pimpinan parti itu, sekali gus mampu membantu meningkatkan kebarangkalian prestasi yang baik.

“Apapun, segalanya masih tertakluk kepada prestasi Kerajaan dan pengadilan rakyat.

“Persefahaman apa sekalipun, jika Kerajaan tidak menggunakan peluang yang ada berkhidmat dengan baik, Umno juga yang akan dihukum PRU15. Namun, jika Kerajaan berprestasi cemerlang, imej Umno juga meningkat,” katanya. – Malaysiapost

Komen