‘MoU bukan bermakna pembangkang sudah masuk kerajaan’ – Wan Saiful

‘MoU bukan bermakna pembangkang sudah masuk kerajaan’ – Wan Saiful

KERAJAAN akan menjadi stabil dan tiada lagi pihak mengugut demi kepentingan peribadi selepas menandatangani memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, kata Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan

Beliau berkata, kestabilan politik adalah perkara paling penting sebagai dalam parti komponen Perikatan Nasional (PN).

“Saya gembira kerana semua prinsip-prinsip persefahaman yang dicadangkan oleh Pengerusi Perikatan Nasional dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ogos lalu kekal menjadi landasan dalam gerak kerja kerajaan hari ini.

“Kini idea-idea penyatuan yang awalnya diusulkan oleh Tan Sri Muhyiddin telah termetrai sebagai satu persefahaman rasmi.

“Tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas keberanian, keihklasan dan kepimpinan beliau dalam meneruskan pelaksanaan rancangan tersebut dalam semangat Keluarga Malaysia yang ampuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Saiful berkata, penghargaan juga diberikan kepada pembangkang yang mengubah pendirian untuk kini menerima persefahaman berkenaan.

Katanya, sebelum ini mungkin pihak pembangkang menolak kerana cuba mengejar kerusi Perdana Menteri, namun kini telah meletakkan kepentingan rakyat yang paling utama.

Tegasnya, persefahaman tersebut bukan bermaksud pembangkang sudah masuk dalam kerajaan tetapi mereka perlu terus menjalankan usaha semak imbang dengan bertanggungjawab.

“Persefahaman ini juga tidak bermaksud pembangkang akan dilantik dalam badan atau agensi eksekutif selain daripada apa yang telah dipersetujui sahaja. Dan ia juga tidak bermaksud kerajaan boleh buat apa sahaja tanpa semak imbang.

“Persefahaman ini akan memastikan bahawa pembangkang tidak menyokong apa-apa usul yang boleh dilihat sebagai penolakan kepada kerajaan, tanpa menghilangkan kebebasan pembangkang untuk membawa idea-idea lain serta mempersoal kerajaan dalam perkara-perkara dasar,” katanya.

Semalam, Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) melakar satu sejarah dengan memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata memorandum itu, membentuk satu kerjasama ‘dwi-partisan’ yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia.

Menurutnya, ia selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Sha, sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Majlis Parlimen ke-14, 2021 di Parlimen, hari ini. – Malaysiapost

Komen