MoU kerajaan-PH langkah tepat – PAS

MoU kerajaan-PH langkah tepat – PAS

PAS menzahirkan ucapan tahniah kepada kerajaan dan pembangkang yang bersepakat menandatangani Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik sekali gus memberi gambaran positif kepada landskap politik negara.

Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad berkata, inisiatif pihak kerajaan tersebut adalah satu langkah penting yang diambil demi mewujudkan kestabilan politik sebagai asas untuk membebaskan negara daripada wabak Covid-19 seterusnya memacu Malaysia ke arah yang lebih cemerlang.

“Memorandum persefahaman ini merupakan langkah tepat yang diambil oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri ke-9 yang merangkumi enam transformasi dalam menjayakan gagasan Keluarga Malaysia.

“..iaitu pemerkasaan Pelan Covid-19; transformasi pentadbiran; pembaharuan parlimen; kebebasan institusi kehakiman; perjanjian Malaysia MA63; dan pembentukan Jawatankuasa Pemandu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamaruzaman berkata, memorandum persefahaman itu juga bertepatan dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang telah diperkenalkan oleh PAS sebagai teras politik negara yang menjadikan agenda politik matang oleh semua pihak untuk kesejahteraan negara.

“Semoga dengan termeterainya memorandum persefahaman ini pihak kerajaan dan pembangkang dapat bekerjasama sebaik mungkin demi kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.-Malaysiapost

Komen