Penggiat skateboarding, basikal BMX tak sabar beraksi semula

Penggiat skateboarding, basikal BMX tak sabar beraksi semula

FASILITI sukan dan rekreasi komersial ‘indoor dan ‘outdoor’ telah dibenarkan dibuka kepada individu lengkap vaksinasi di negeri Fasa 1 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa 10 September yang lalu.

Bagaimanapun, tinjauan Malaysiapost di gelanggang Sukan Ekstrem di Kompleks Belia dan Sukan Bukit Kiara, Kuala Lumpur dilihat lengang dan sepi semalam, berikutan masih belum dibuka.

Difahamkan, pihak pengurusan belum mengeluarkan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) sesuai kepada orang ramai.

Sehubungan itu, rata-rata pemain papan selaju (skateboarding) dan basikal BMX termasuk jurulatih berharap ia dibuka secepat mungkin untuk mereka menjalani latihan dan melakukan persediaan secukupnya bagi menghadapi kejohanan sukan pada akhir tahun ini

Jurulatih Skateboarding, Joseph Romey, 39, berkata pihak pengurusan perlu segera membuka fasiliti itu bagi memudahkan penggiatnya menjalani latihan.

Selain itu, katanya, orang awam boleh beriadah dengan bermain skateboard atau basikal sekali gus dapat mencari bakat baharu dalam bidang sukan ekstrim itu.

“Sekarang ini pun budak-budak dah tak sabar nak bermain skateboard sebab lama terperap dalam rumah sebab PKP.

“Mereka tidak sepatutnya dibiarkan duduk dalam rumah, perlu keluar bersosial secara sihat. Jadi kena buka skate park bukan untuk orang awam sahaja tetapi kepada pemain skateboarding, BMX bike.

“Kita memang tertunggu-tunggu nak buat aktiviti ini. Dah terlalu lama, bagus jika pihak pengurusan segera membuka fasiliti ini supaya kita boleh kesan lebih ramai lagi bakat dalam sukan ini di Malaysia,” katanya.

Pemain basikal BMX, Mohd Fakhrulrozi Mohd Rozian, 27, turut berharap ia dibuka semula kerana pemain skateboard khususnya di Kuala Lumpur sudah lama menanti untuk kembali melakukan aktiviti itu.

“Sekarang ini gelanggang di Bukit Kiara ini masih kosong mungkin sebab pengubahsesuaian, namun orang awam masih tak dapat kata putus daripada pihak pengurusan.

“Jadi kita nak tahu bila akan dibuka, kerajaan telah beri kebenaran… lagipun ni satu-satunya skate park berbumbung, tempat lain tak ada, bila hujan tak dapat main.

“Akhir tahun ini banyak pertandingan akan berlangsung jadi tempat ini tutup susahlah atlet nak berlatih,” katanya.

Justeru, Fakhrulrozi berharap fasiliti itu dibuka segera supaya pemain baharu sama ada skateboarding atau basikal BMX, dapat meningkatkan lagi kemahiran mereka. – Malaysiapost

Komen