Perasaan Shuib berbaur tatkala bawa anak bongsu pulang

Perasaan Shuib berbaur tatkala bawa anak bongsu pulang

ANAK bongsu pelawak Shuib Sepahtu bersama Allahyarham Siti Sarah, Ayash Affan akhirnya dibenarkan pulang ke rumah hari ini.

Menyifatkannya sebagai hadiah hari lahirnya yang ke 37, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad bersyukur kerana Allah menghadirkan berita gembira tersebut buatnya sekeluarga.

Shuib juga mengakui perasaannya berbaur gembira dan sedih kerana berita tersebut diterimanya sehari sebelum hari ulang tahun isterinya yang ke-37 esok.

“Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Hadiah hari jadi ibu esok 15 September.

“Allah hadiahkan kepulangan Ayash Affan hari ini, syukur Ya Allah. Terima kasih kepada yang mendoakan kesihatan Ayash,” tulisnya dalam InstaStory, hari ini.

Terdahulu, menerusi beberapa hantaran di Instagram, Shuib berkata sambutan hari lahirnya pada tahun ini begitu luar biasa.

Jelas Shuib, lazimnya setiap tahun bulan September adalah bulan yang begitu dinanti-nantikannya bersama arwah isteri memandangkan mereka akan meraikan ulang tahun kelahiran bersama-sama

Dalam pada itu, Shuib turut berkongsi amanat terakhir Siti Sarah yang memintanya untuk menjaga anak bongsu mereka itu sebaiknya.

“Insyallah. Alhamdulillah hari ini jumpa Ayash Affan. Masih ingat lagi ibu (Sarah) selalu cakap benda yang sama berulang kali. Baby yang ke-4 ini, you jaga dia tau, you jaga tau, you jaga okay,” kongsi Shuib

Janji Shuib, dia akan menjaga Ayash seperti mana dia menjaga arwah Siti Sarah dan mendidiknya untuk menjadi anak soleh dan kebanggaan mereka.

Malah, Shuib turut berharap agar Sarah dapat mendoakannya untuk terus kuat memandangkan ‘perjalanannya’ masih jauh.

“Insyallah sayang, I akan jaga dia macam mana I jaga you sampailah dia jadi anak yang soleh, anak yang akan menjadi kebanggan you dunia akhirat, anak yang selalu dekat dengan Allah. Cuma I mohon you doakan I, perjalanan I masih jauh. Doakan I selalu kuat. I love you sayang,” katanya.

Untuk info, Shuib dilahirkan pada 12 September, manakala arwah Siti Sarah pula lahir pada 15 September pada tahun yang sama, 1984.

Kini, segalanya tinggal kenangan buat Shuib dan empat orang anak mereka, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6 dan, Ayash Affan yang dilahirkan pramatang pada 6 Ogos 2021. – Malaysiapost

Komen