SOP PPN akan dikurangkan daripada 181 kepada 10 – Hishammuddin

SOP PPN akan dikurangkan daripada 181 kepada 10 – Hishammuddin

KERAJAAN sedang berusaha mengurangkan jumlah prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 daripada 181 ketika ini kepada hanya 10 dalam masa terdekat.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, proses mengurangkan SOP itu dijangka mengambil masa sekitar dua hingga tiga minggu.

Beliau berkata, SOP yang telah digunapakai selama lebih setahun itu diperkemaskan untuk lebih mudah difahami rakyat.

“Dalam dua tiga minggu ini kita akan muktamadkan untuk kurangkan SOP untuk dipermudahkan.

“Kita akan minta Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk mengkoordinasi bagi menyediakan informasi tentang perkara ini,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Rakyat pada Selasa.

Sidang akhbar itu turut dihadiri Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, pengurangan SOP itu merupakan salah satu agenda yang dibincangkan beliau bersama tiga menteri terbabit menerusi mesyuarat yang diadakan.

Menurutnya, mesyuarat itu diadakan dengan persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang bermesyuarat 2 September lalu.

Sementara itu, menerusi ciapan Twitternya, Annuar berkata, SOP yang diperkemaskan itu bagi memudahkan rakyat selain mengelak kekeliruan.

“Dalam kita bersiap sedia untuk memasuki fasa endemik, Mesyuarat Kuartet Menteri mensasarkan untuk mengurangkan dan memperkemaskan SOP.

“Ia bagi memudahkan diikuti KeluargaMalaysia dan mengelakkan kekeliruan dalam kita menjalani kehidupan norma baharu,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Hishammuddin Hussein

Komen