‘Tiada paksaan kepada sesiapa untuk kembali kepada fitrah’ – Corrie

‘Tiada paksaan kepada sesiapa untuk kembali kepada fitrah’ – Corrie

“HIDAYAH itu milik Allah. Saya hanya boleh menceritakan keindahan Islam. Itu sahaja,” luah pelakon, Adam Corrie Lee, 53.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Corrie berkata, perkara itu dijelaskan kerana ramai yang bertanya bagaimana dia boleh mengislamkan ramai orang terutama individu yang tidak dikenalinya.

“Ada yang tertanya-tanya bagaimana saya boleh syahadahkan ramai orang. Kebanyakan yang saya syahadahkan adalah orang yang saya tak kenal. Tak pernah jumpa.

“Mereka yang datang jumpa saya, DM/PM saya menyatakan hasrat untuk syahadah,” tulisnya.

Pelakon filem Ada Apa Dengan Dosa (AADD) itu berkata, dalam proses itu juga dia akan bertanya tiga soalan kepada individu yang ingin disyahadahkan.

Perkara itu wajib ditanya terdahulu, kerana baginya sekiranya benar tiada paksaan untuk individu berkenaan berbuat demikian, barulah dia akan meminpin mereka mengucap syahadah.

“Ketika hari saya hendak syahadahkan mereka. Memang menjadi perkara yang wajib saya bertanya.

“(Soalan ditanya termasuk) kenapa ingin memeluk Islam, bertanya latar belakang mereka dan adakah sebarang paksaan dari sesiapa untuk memeluk Islam.

“Jika tiada sebarang paksaan baru saya akan memimpin mereka syahadah. Jika ada yang seseorang memaksa memeluk Islam itu adalah perkara yang tidak bermoral.

“Tiada paksaan kepada sesiapa untuk kembali kepada fitrah,” katanya.

Menjelaskan mengenai soal bayaran yang dikenakan untuk proses memeluk Islam, Corrie menjelaskan tiada sebarang caj dikenakan asalkan individu berkenaan ikhlas mencintai Islam.

“Ada yang bertanya perlu bayaran ke nak masuk Islam? Tiada bayaran. Hanya bawa diri dan hati yang tulus cintakan Islam itu sahaja.

“Untuk pendaftaran Islam hanya ambil gambar 2 keping dan salinan kad pengenalan. Itu sahaja,” katanya.

Corrie turut mencoretkan Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur).

Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 256)

Sementara itu, di ruangan komen hantaran berkenaan, Corrie berkata, entri berkenaan bukan luahan hatinya.

“Ini untuk pengetahuan secara umum yang berniat untuk kembali kepada fitrah. Cara-cara untuk syahadah. Ramai yang malu-malu nak bertanya,” katanya.

Baru-baru ini, menerusi perkongsian videonya di Instagramnya, Corrie menjadi perhatian ramai memaparkan dirinya mengislamkan dua pasangan saudara baharu.

Menurut Adam, setakat ini dia sudah mengislamkan seramai 20 orang saudara baharu. Ujarnya, kebanyakan saudara baharu mendapat hidayah untuk memeluk Islam selepas mendengar azan. – Malaysiapost

Komen