Umno tekad jadi mata, telinga dan suara rakyat – Zahid

Umno tekad jadi mata, telinga dan suara rakyat – Zahid

UMNO akan terus menjadi mata, telinga dan suara rakyat dalam menyentuh soal-soal kesejahteraan dan kemakmuran negara.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Umno akan terus berperanan sebagai kuasa pengimbang yang sentiasa bergerak senafas dengan rakyat.

Katanya, pendirian Umno selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong pada Istiadat Pembukaan Dewan Rakyat Penggal Keempat Parlimen semalam, agar semua pihak fokus kepada usaha memerangi pandemik Covid-19 demi kemaslahatan rakyat.

“Seri Paduka Baginda bertitah setelah lebih setahun berlalu negara masih lagi belum bebas sepenuhnya daripada pandemik Covid-19.

“Seri Paduka Baginda bertitah rakyat telah terlalu lama dibelenggu dengan masa hadapan yang kelam, bergelut dengan isu kesihatan dan juga kemurungan ekonomi.

“Titah baginda terlalu ramai rakyat yang terkesan dengan penularan pandemik dan terlalu ramai juga rakyat yang telah kehilangan sumber rezeki,” katanya di Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid juga menyifatkan titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu membuktikan Baginda sangat cakna serta prihatin terhadap nasib rakyat dan masa depan negara.

Katanya Seri Paduka Baginda berjiwa rakyat dan menyelami keadaan sebenar rakyat.

“Presiden Umno menjunjung kasih serta mengambil maklum titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga.

“Seri Paduka Baginda bertitah rakyat merintih penuh duka dengan seribu harapan agar sinar perubahan dapat mereka kecapi dengan segera bagi meneruskan kehidupan seharian seperti biasa,” katanya. – Malaysiapost

Komen