Imam Besar Masjid Putra mohon maaf secara terbuka

Imam Besar Masjid Putra mohon maaf secara terbuka

IMAM Besar Masjid Putra Putrajaya, Ikmal Zaidi Hashim memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam berhubung penjelasannya yang dilihat agak keterlaluan mengenai isu layanan dua darjat bagi solat Jumaat di masjid berkenaan.

Permohonan maaf itu dibuat menerusi satu rakaman video di Facebook Masjid Putra Putrajaya, malam tadi.

“Dengan rendah hati, saya ingin memohon naaf atas segala ketelanjuran tersebut dan berazam serta berjanji akan membaiki keadaan terutama berkaitan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di Masjid Putra.

“Saya juga mengajak semua khasnya jemaah Masjid Putra untuk teruskan aktiviti pengimarahan sama ada solat Jumaat atau solat fardu dan program yang akan dianjurkan kelak,” katanya.

Baru-baru ini sebuah video tular di laman sosial memaparkan sebilangan jemaah tidak berpuas hati terhadap pengurusan masjid itu yang dilihat memberi layanan berbeza kepada mereka sewaktu ingin menunaikan solat Jumaat.

Justeru, pihak pentadbiran masjid telah memohon maaf dan menjelaskan tiada isu layanan dua darjat sebaliknya mereka mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang memperuntukkan sebanyak 300 kuota untuk kehadiran berjemaah untuk solat Jumaat.

Susulan isu terbabit, Ustaz Ikmal memuat naik video untuk memberi penjelasan sebenar berhubung isu tular itu malah beliau tidak reda atas penyebaran video berkenaan.

Beliau turut menggesa individu yang menularkan video itu tampil bagi memohon maaf kepada pihak penguruasan masjid.

Bagaimanapun, Penjelasan Ustaz Ikmal itu mengundang reaksi orang ramai yang menganggap tidak wajar Imam Besar Masjid Putra itu bertindak sedemikian. – Malaysiapost

Komen