Statistik kematian KKM mengelirukan – Najib Razak

Statistik kematian KKM mengelirukan – Najib Razak

AHLI Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan statistik kematian terkini yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengelirukan.

Beliau berkata, ia selepas pihak KKM menukar cara untuk melapor kematian setelah mengambil kira data kematian tertunggak yang kurang dilapor oleh kerajaan dahulu.

Katanya, walaupun KKM melaporkan 463 kematian Covid semalam, namun kematian sebenar dikatakan tiga orang sahaja.

“Jumlah kematian yang dilaporkan dengan kematian sebenar Covid diberi KKM baru-baru ini adalah seperti berikut, 11 September 2021 (592 kematian dilapor, 122 kematian sebenar, 12 September 2021 (292 kematian dilapor, 89 kematian sebenar) dan 13 September 2021 ( 413 kematian dilapor,33 kematian sebenar)

“Statistik kematian itu menjadi lebih mengelirukan apabila KKM tukar cara,” katanya menerusi Facebook.

Sehubungan itu, beliau memberi pandangan supaya melihat trend garis hitam yang ditunjukkan infografik kes kematian yang disediakan KKM dalam laman web COVIDNOW iaitu kadar purata kematian bagi tempoh tujuh hari lalu bagi mengelakkan lagi kekeliruan tersebut.

“Garis hitam ini menunjukkan trend menurun yang ketara pada ketika ini. Harap ianya akan terus menurun secepat mungkin.

“Namun, jumlah keseluruhan kematian Covid Malaysia sudah naik ke 21,587 semalam di mana 21,116 kematian dicatat kelmarin bawah darurat yang amat gagal.

“Jumlah 21,116 kematian adalah satu angka yang sangat seram. Sebagai perbandingan, jumlah kematian kemalangan jalan raya Malaysia bagi keseluruhan tahun 2019 ialah 6,167 nyawa,” katanya.

Beliau berkata, perkara ini tidak boleh dinafikan bahawa Malaysia adalah juara Covid-19 ASEAN tahun ini dari segi kematian dan kes Covid-19 kumulatif berbanding saiz penduduk.

Najib juga menyenaraikan jumlah kumulatif kematian Covid bagi setiap 1 juta penduduk iaitu Malaysia (657)
Indonesia (503), Filipina (319), Thailand (209) dan Singapura (10).

Manakala, jumlah kumulatif kes Covid bagi setiap 1 juta penduduk Iaitu Malaysia (61,205), Filipina( 20,354), Thailand (20,090), Indonesia (15,069) dan Singapura (12,383).-MalaysiaPost

Komen