Ken Worden hembus nafas terakhir hari ini

Ken Worden hembus nafas terakhir hari ini

BEKAS pengendali skuad bolasepak kebangsaan dan Selangor, Ken Worden meninggal dunia hari ini.

Berita itu disahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di laman Facebook rasminya yang mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang jurulatih warganegara Australia berusia 78 tahun itu.

Worden atau nama penuhnya Kenneth Joseph Worden dilahirkan pada 2 Februari 1943 di Preston, England, tetapi lebih menyerlah kariernya sebagai pemain dan jurulatih di Australia sebelum berhijrah ke Malaysia pada 1991 untuk menjadi jurulatih Selangor yang muncul juara Piala FA dan naib juara Piala Malaysia di bawah kendaliannya.

Beliau kemudian dilantik sebagai jurulatih kebangsaan selama dua tahun, menggantikan Rahim Abdullah bermula Januari 1992 sehingga penghujung 1993.

Antara kejayaan yang dicipta Worden ialah membantu pasukan kebangsaan menjuarai Kejohanan Jemputan Vietnam dan Piala Jakartaraya 1992 serta Pestabola Merdeka 1993.

Bagaimanapun, skuad negara yang membariskan pemain bintang zaman itu seperti Zainal Abidin Hassan, Mubin Mokhtar, Khairul Azman Mohamad, K. Gunalan, Azizol Abu Haniffah, Malek Rahman, Dollah Salleh dan Azman Adnan tewas pada pra-Piala Dunia dan Sukan SEA Singapura 1993.

Selepas itu, Worden menyahut cabaran sebagai jurulatih Singapura untuk beberapa bulan sebelum meneruskan karier kejurulatihannya di Malaysia dengan kembali sebagai jurulatih Selangor.

Penyokong Selangor pastinya mengingati figura ini kerana telah membantu Selangor menjulang Piala Malaysia pada tahun 1995, 1996 dan 2002. – Malaysiapost

Komen