Harimau Malaya berdepan cabaran getir Piala AFF Suzuki

Harimau Malaya berdepan cabaran getir Piala AFF Suzuki

SKUAD Harimau Malaya berdepan laluan getir pada kejohanan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2020 selepas diundi berada dalam ‘kumpulan maut’.

Anak buah Tan Cheng Hoe bakal berdepan tentangan sengit jaguh Asia Tenggara yang juga juara bertahan, Vietnam, musuh ketat Indonesia selain Laos dan Kemboja dalam Kumpulan B.

Saingan Piala AFF Suzuki 2020 yang sepatutnya dilangsungkan pada tahun lalu ditangguhkan dua kali sebelum tarikh baharu ditetapkan pada 5 Disember hingga 1 Januari depan.

Vietnam merupakan juara bertahan edisi 2018 apabila menewaskan Malaysia dengan agregat 3-2.

Sebagai rekod, kali terakhir skuad negara dipertemukan dengan kedua-dua musuh tradisi ini adalah pada kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang berakhir Jun lalu.

Sementara itu, dalam undian pusingan peringkat kumpulan di Singapura sebentar tadi menyaksikan Thailand, Singapura, Myanmar, Filipina, Brunei atau Timor Leste diletakkan dalam Kumpulan A.

Brunei dan Timor Leste akan mengharungi perlawanan play off untuk mengesahkan beraksi dalam temasya bolasepak terbesar di Asia Tenggara ini. – Malaysiapost

Komen