Pembukaan stadium untuk penonton bola sepak akan dipertimbang – Hishammuddin

Pembukaan stadium untuk penonton bola sepak akan dipertimbang – Hishammuddin

Nilam Oshman

PEMBUKAAN Stadium bagi menonton perlawanan bola sepak akan dipertimbangkan dan diteliti dalam Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu telah membentangkan perkara tersebut dalam Mesyuarat Menteri Kuartet hari ini.

Justeru, katanya, ia akan diputuskan dalam Jawatankuasa Khas terbabit yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri.

“Selain gimnasium, Menteri Belia dan Sukan telah membentangkan potensi pembukaan stadium bagi menonton perlawanan bola sepak serta sukan-sukan yang sesuai.

“Ini masih diperingkat perbincangan yang mana cadangan yang telah dikemukakan oleh Datuk Seri Faizal Azumu tadi akan diangkat dan diteliti di peringkat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri,” katanya dalam sidang media hari ini.

Sementara itu, Ahmad Faizal memaklumkan, cadangan itu telah dikemukakan pihaknya dan akan diperhalusi oleh jemaah Menteri Kuartet.

“Berita baik, apabila cadangan ini telah dibuat dan Insya-Allah Jemaah Menteri Kuartet akan memperhalusi cadangan-cadangan yang telah kami kemukakan hari ini.

“Jadi, kemungkinan untuk membuka kembali stadium-stadium kita bagi kita meraikan kemeriahan Piala Malaysia yang akan bermula tidak lama lagi.

“Insya-Allah jika perkara ini dapat kita lakukan sekali lagi ia akan dibuat melalui SOP yang ketat maka para peminat bola sepak sekiranya ia dibenarkan nanti mesti tetap patuh kepada SOP,” katanya. – Malaysiapost

Komen