Capai 90% vaksinasi dewasa, rentas negeri bakal dilaksanakan

Capai 90% vaksinasi dewasa, rentas negeri bakal dilaksanakan

PENANTIAN rakyat Malaysia untuk merentas negeri bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Ia susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini yang memaklumkan aktiviti rentas negeri dibenarkan dengan syarat mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang telah dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Setakat semalam, peratusan vaksinasi populasi dewasa negara mencecah 80.2 peratus membabitkan 18,766,340 individu yang lengkap vaksinasi.

Yang mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksinasi adalah sebanyak 93.2 peratus atau 21,813,163 individu menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin kini, setakat semalam adalah 40,925,929 dos.

Sementara itu, Perdana Menteri turut mengumumkan aktiviti pelancongan turut dibuka.

“Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik memutuskan untuk membenarkan pembukaan pusat-pusat pelancongan, pulau-pulau atau kawasan pelancongan.

“Termasuk juga pusat, premis dan produk pelancongan seperti zoo, perladangan, akuarium, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing dan taman rimba, juga dibenarkan beroperasi di semua fasa PPN berkuat kuasa 1 Oktober ini dengan semua pengusaha, operator dan pelawat atau pengunjung lengkap divaksin,” katanya. – Malaysiapost

Komen