Isu laporan polis LHDN: Kedudukan, buli apa? – Najib

Isu laporan polis LHDN: Kedudukan, buli apa? – Najib

AHLI Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan kenyataan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang menyifatkan beliau membuli Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan menggunakan kedudukannya.

Sebaliknya, jelas Najib, pegawai LHDN telah memberi maklumat menerima tekanan daripada ahli politik yang mahu dirinya dikenakan tindakan undang-undang termasuk penalti cukai.

Beliau turut mendakwa mempunyai maklumat dan bukti berlaku pelanggaran kuasa dalam kes membabitkan cukai tambahan RM1.7 juta terhadap dirinya.

“Petang tadi, Jelutong saran dalam Dewan Rakyat supaya saya jangan gunakan kedudukan saya untuk buli kakitangan LHDN berkenaan salah guna kuasa dan penggunaan dokumen palsu mengenai bayaran cukai terhadap saya.

“Kedudukan apa yang saya salah gunakan? Dan buli apa pula?

“Saksi dah ada. Pengakuran dan pemberi maklumat dah ada. Dokumen dah ada. Polis sendiri yang tentukan bahawa ianya kes memalsukan dokumen – bukan saya,” katanya menerusi Facebook.

Sehubungan itu, bekas Perdana Menteri itu juga menjemput Rayer secara terbuka untuk bawa pakar cukai untuk bincang dengan peguam dan pakar cukainya untuk melihat sendiri jika pengiraan taksiran cukai terhadap beliau itu sah atau tidak.

“Ada berani? Oh.. satu lagi. Soalan yang saya kemukakan pada Jelutong 10 bulan dahulu (dan dikongsi semula beberapa kali oleh saya) berhubung siapa adalah penyamun pun Jelutong tak pernah jawab,” katanya.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengesahkan satu siasatan sedang dijalankan berhubung laporan polis yang dibuat Najib terhadap LHDN.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Kamarudin Md Din, berkata siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan. – Malaysiapost

Komen