Kapasiti jemaah solat fardu, Jumaat di Selangor ditambah

Kapasiti jemaah solat fardu, Jumaat di Selangor ditambah

KAPASITI jemaah solat fardu dan Jumaat bagi masjid dan surau di Selangor kini ditambah antara 100 hingga 1,000 jemaah berkuatkuasa hari ini.

Ketetapan baharu itu dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sehingga suatu tempoh yang akan ditentukan kelak.

Berdasarkan edaran yang tular di media sosial, Jais memaklumkan kapasiti bagi solat fardu di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri), yang dibenarkan kini adalah 500 jemaah, manakala 1,000 jemaah dibenarkan bersolat Jumaat.

Bagi masjid dan surau lain pula seramai 100 hingga 300 jemaah termasuk pentadbir dibenarkan untuk solat fardu dan 250 hingga 500 jemaah bagi solat Jumaat.

Prosedur operasi standard (SOP) mencegah wabak diberi penekanan dengan jemaah hanya dalam kalangan ahli kariah yang tinggal bermastautin dalam kawasan serta lengkap vaksinasi dibenarkan.

Masjid dan surau juga dibenar menerima jemaah bermusafir atau pemandu e-hailing dan penghantar makanan.

Manakala, jemaah bukan warganegara yang dikenali dan melazimi hadir ke masjid atau surau turut boleh dipertimbangkan.

Selain itu, antara aktiviti lain yang dibenarkan adalah kuliah Subuh, kuliah Dhuha, kuliah Maghrib, tazkirah sebelum solat Jumaat, halaqah tadarus dan tadabbur al-Quran, kuliah muslimat, bacaan Yasin dan tahlil serta program munajat dan doa. – Malaysiapost

Komen