Negeri Sembilan, Pahang dan Johor beralih fasa Jumaat ini

Negeri Sembilan, Pahang dan Johor beralih fasa Jumaat ini

PERALIHAN fasa bagi tiga negeri membabitkan Negeri Sembilan, Pahang dan Johor berkuatkuasa 24 September ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu dipersetujui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik, hari ini.

“Negeri Sembilan daripada Fasa 3 kepada Fasa 4. Pahang daripada Fasa 2 kepada Fasa 3 dan Johor daripada Fasa 1 kepada Fasa 2.

“Peralihan fasa ini mengikut garis panduan yang ditetapkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan mengambil kira kemasukan ke hospital bagi kes bergejala penggunaan katil ICU serta peratusan lengkap divaksinasi.

“Keputusan ini juga dilakukan berdasarkan penilaian risiko semasa yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik itu, berkata, Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 2, 3 dan 4 adalah sama dengan sebelum ini.

“Keterangan SOP terkini akan dikemaskini oleh MKN di laman sesawang rasmi www.mkn.gov.my,” katanya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan enam ketetapan lain yang turut diputuskan hari ini.

  1. Kedai runcit, mini market, restoran, stesen minyak dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 malam berkuatkuasa 23 September 2021.
  2. Membenarkan pembukaan pusat-pusat pelancongan, pulau-pulau atau kawasan pelancongan berserta aktiviti rentas negeri dibenarkan dengan syarat mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang telah dibuat oleh KKM.
  3. Operasi perniagaan spa, pusat kesihatan (wellness), dan urut kesihatan dibenarkan kepada pengunjung dan operator yang telah menerima dos lengkap vaksin bermula 1 Oktober 2021.
  4. Pusat/ premis/produk pelancongan seperti zoo, perladangan, akuarium, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing dan taman rimba, dibenarkan beroperasi di semua fasa PPN berkuatkuasa 1 Oktober 2021 dengan semua pengusaha/operator dan pelawat/pengunjung lengkap divaksin.
  5. Kehadiran pekerja bagi setiap perniagaan yang dibenarkan beroperasi adalah pada kapasiti 100 peratus dengan syarat majikan dan semua pekerja lengkap divaksin.
  6. Warga asing yang tiba di pintu masuk antarabangsa perlu menanggung kos ujian RT-PCR di pintu masuk negara, manakala bagi warganegara adalah percuma.

Sehubungan itu, kerajaan menyeru dengan kelonggaran-kelonggaran yang diberikan ini, ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab.

“Patuhilah setiap SOP yang ditetapkan, pakai pelitup muka, amalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan dan keselamatan diri,” katanya. – Malaysiapost

Komen