Transgender diharam masuk masjid, dilarang mengerjakan haji, umrah

Transgender diharam masuk masjid, dilarang mengerjakan haji, umrah

GOLONGAN mukhannath iaitu mak nyah atau transgender diharamkan memasuki masjid serta dilarang mengerjakan haji dan umrah dalam keadaan kecelaruan jantina.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata mereka diharamkan memasuki masjid, kerana boleh mengganggu suasana ibadah di masjid dan solat jemaah golongan ini hendaklah berdasarkan jantina sebenar.

Beliau berkata, golongan terbabit dilarang mengerjakan haji atau umrah pula kerana dikhuatiri boleh menimbulkan fitnah kepada jemaah lain.

“Tasyabbuh iaitu perbuatan lelaki atau wanita dengan sengaja meniru jantina berbeza dari segi pertuturan, tingkah laku, perbuatan atau berpakaian tanpa mempunyai keperluan dibenarkan syarak seperti pendidikan, penyaksian atau pemberian keterangan dan seumpamanya.

“Hukum tasyabbuh ini adalah haram dan termasuk di dalam dosa besar yang dilaknat oleh Allah SWT,” katanya dalam kenyataan yang dimuatkan dalam Laman Web Rasmi Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Menurutnya, jika penyerupaan itu tidak disengajakan seperti sifat lembut yang ada pada lelaki sejak asal bukan dibuat-buat adalah tidak dinamakan dengan tasyabbuh, sebaliknya dipanggil mukhannath khalqi.

“Demikian juga lelaki atau wanita yang memiliki perasaan seks kepada golongan sejenis tanpa sengaja, namun tidak melakukan apa-apa perbuatan mencanggahi syarak adalah dimaafkan.

“Bahkan jika dia bersabar menahan dirinya dari melakukan perbuatan yang haram, dia mendapat pahala yang besar,” katanya.

Menurutnya, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis pada 23 dan 24 Jun lalu, memutuskan golongan mukhannath yang sengaja menyerupai jantina yang berbeza adalah termasuk dalam golongan fasik.

“Hukum seseorang berkhalwat dengan golongan ini sekalipun jantina sama adalah diharamkan jika menimbulkan fitnah atau mencemarkan nama baik seseorang, namun jika sebaliknya maka hukumnya sama seperti berkhalwat dengan jantina sama.

“Jenazah golongan ini diuruskan berdasarkan jantina yang sebenar dan pihak pengurusan jenazah perlu memilih mereka yang sesuai untuk mengendalikan jenazah bagi mengelakkan fitnah.

“Lelaki dari golongan ini boleh menjadi wali dengan syarat ketika proses perwalian dia tampil dengan perwatakan lelaki,” katanya. – Malaysiapost

Komen