Angin kuat punca kapal layar MV Ocean Serene tenggelam

Angin kuat punca kapal layar MV Ocean Serene tenggelam

JABATAN Laut Malaysia memaklumkan angin kuat punca kapal layar MV Ocean Serene yang tenggelam di perairan Pelabuhan Selatan, Klang semalam.

Menerusi kenyataan hari ini, jabatan itu mengesahkan menerima satu laporan kecemasan berhubung insiden berkenaan.

Menurut kenyataan itu, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 7.30 malam dan kapal tersebut dipukul angin kuat ketika bersauh di pelabuhan tersebut.

“Penolakan angin tersebut menyebabkan air masuk terlalu laju melalui lubang di transom kapal tersebut.

“Pam telah digunakan tetapi tidak berupaya untuk mengeluarkan air yang masuk terlalu laju sehingga menyebabkan sebahagian kapal telah tenggelam,” kata kenyataan, hari ini.

Jabatan itu berkata, seramai enam krew warga Indonesia yang berada di atas kapal itu telah ‘abandon ship’ dan diselamatkan sebuah bot milik orang awam yang kebetulan melalui kawasan tersebut.

Semalam, Bot Jabatan Laut Wilayah Tengah juga diarahkan membuat pemantauan pada pagi ini bagi mengesan tumpahan minyak di kawasan sekitar dan sebarang pergerakan kapal karam tersebut.

“Jabatan Laut Wilayah Tengah juga akan membuat proses penandaan ‘Special Mark Buoy’ di kawasan tersebut bagi memastikan laluan tersebut tidak digunakan buat masa ini.

“Satu pasukan penyiasat juga telah ditubuhkan oleh Jabatan Laut Wilayah Tengah bagi mengetahui punca kejadian dan kos yang terlibat” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Jabatan Laut Malaysia

Komen