DUN Melaka kecoh: Adun Pengkalan Batu, Kota Laksamana bertegang urat

DUN Melaka kecoh: Adun Pengkalan Batu, Kota Laksamana bertegang urat

AHli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang pernah menjadi tumpuan berhubung isu ‘babi’, hari ini sekali lagi menghangatkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Ia selepas keadaan menjadi kecoh apabila Norhizam ‘bertegang urat’ semasa menjawab soalan tambahan Low Chee Leong (DAP- Kota Laksamana).

Beliau yang juga Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi menjawab soalan tambahan dikemukakan Chee Leong berkaitan kesan pembangunan Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) kepada nelayan di Pantai Kundor dan Kota Laksamana.

Menjawab soalan tersebut, Norhizam menegaskan beliau amat prihatin dan mengambil berat soal berkaitan nelayan khususnya dan sebarang perubahan berlaku adalah dalam pengetahuannya.

Malah, dalam sesi jawapan beliau turut mengisytiharkan dirinya sebagai ‘laksamana’ dan menyatakan jika pembangunan itu memberikan kesan buruk, beliau akan mengambil tindakan sekeras-kerasnya.

Bagaimanapun, Chee Leong menemplak Norhizam Hassan sebagai tidak menjawab soalannya yang mahu supaya laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dibentangkan.

Pertelagahan timbul apabila Norhizam bangun menjelaskan beliau belum menerima laporan itu dan tidak dapat membentangkannya dalam dewan.

Keadaan menjadi semakin kecoh ketika Chee Leong teruk mendesak Norhizam termasuk menggelarnya sebagai ‘pengkhianat’ dan ‘penderhaka Pakatan Harapan’.

“You jadi Exco tidak tahu apa,” kata Chee Leong lalu Norhizam membalas dengan menjerit “duduk nanti saya jawab” sambil menuding jari ke arah Chee Leong.

Keadaan lebih tegang apabila Norhizam mengeluarkan ungkapan ‘bodoh’, ‘awak tanya saya jawablah bangang’ apabila Chee Leong enggan mengalah.

Namun begitu, Timbalan Speaker DUN Melaka, Datuk Ghazale Muhamad kemudian bangun menegur dan meminta semua Adun bertenang serta mengingatkan mereka supaya mengikut peraturan dewan. – Malaysiapost

Komen