Hanya 1,734 individu lengkap divaksinasi meninggal dunia – KJ

Hanya 1,734 individu lengkap divaksinasi meninggal dunia – KJ

[PARLIMEN] SERAMAI 1,734 individu iaitu 0.7 peratus daripada jumlah pesakit Covid-19 yang lengkap divaksinasi meninggal dunia.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, seramai 259,033 individu iaitu 1.4 peratus daripada individu yang telah menerima vaksin lengkap dijangkiti Covid-19.

Katanya, sehingga kini Malaysia merekodkan 18,986,347 individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.

“Bagi kes kematian melibatkan individu yang telah menerima vaksin lengkap (breakthrough death) di negara ini, 88.1 peratus daripadanya adalah individu yang mempunyai komorbiditi dengan tiga jenis penyakit tertinggi iaitu darah tinggi (67.8%), kencing manis (54.6%) dan penyakit berkaitan kolesterol-dislipidemia (48.0%).

“Selain itu, daripada kalangan penerima vaksin lengkap yang meninggal dunia, 77.8 peratus adalah individu berumur 60 tahun dan ke atas,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Khairy berkata, walaupun terdapat kes jangkitan ke atas golongan yang lengkap divaksin, namun keberkesanan vaksin telah dapat dilihat menerusi perkembangn yang baik menerusi trend menurun indikator utama Covid-19 iaitu kadar penggunaan katil, keperluan alat bantuan pernafasan dan ICU serta kadar kematian.

“Semua vaksin yang digunakan di bawah PICK adalah vaksin yang telah melepasi penilaian ketat Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebelum diluluskan penggunaannya.

“Sasaran utama PICK ialah untuk mengurangkan kes serius Covid-19 termasuk kematian yang boleh memberi tekanan kepada perkhidmatan kesihatan dalam negara,” katanya.

Sementara itu, Khairy menjelaskan, masih belum ada mana-mana ujian atau kit ujian pengesanan antibodi pasca vaksinasi yang telah diluluskan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi pasaran swasta.

“Bagaimanapun kajian keberkesanan ujian daya tahan antibodi dari beberapa makmal KKM telah dan masih dijalankan.

“Kajian ini akan berjalan selama dua tahun dan merupakan hasil kolaborasi antara Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) dan Institut Penyelidikan (IMR),” katanya. – Malaysiapost

Komen