Isu warganegara: Pemuda Umno gesa Peguam Negara tarik balik notis rayuan

Isu warganegara: Pemuda Umno gesa Peguam Negara tarik balik notis rayuan

KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi yang membenarkan tuntutan permohonan kewarganegaraan ibu-ibu warganegara Malaysia ke atas anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara dan berbapakan warga asing pada 9 September 2021 wajar dipertahankan. 

Sehubungan itu, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata sebarang prosedur rayuan berhubung keputusan mahkamah harus ditarik balik serta-merta. 

Katanya, Pemuda Umno berpandangan, amalan penganugerahan warganegara secara automatik kepada bapa sedangkan ibu perlu memohon warganegara secara pendaftaran di dalam situasi sama, telah mengakibatkan ketidakadilan yang tidak berasas sama sekali.  

“Malah amalan ini mengakibatkan kesulitan berpanjangan dan menjejaskan hak kanak-kanak untuk mendapat akses sama dengan kanak-kanak warganegara Malaysia kepada pendidikan di sekolah awam serta rawatan perubatan di hospital Kerajaan dan kemudahan asas lain.  

“Keperitan emosi dan mental pihak-pihak ini hanya kerana anak-anak mereka dilahirkan di luar negara tidak wajar dibiarkan berterusan,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Asyraf Wajdi berkata situasi itu, jika tidak dihentikan akan berlanjutan menyebabkan kesan negatif serta kecelaruan terhadap kebajikan kanak-kanak, perkembangan mereka serta hubungan keluarga dengan adik-beradik yang lain dan prospek kehidupan seterusnya.  

Katanya, permasalahan yang melanda kanak-kanak hanya kerana mereka dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara yang mengahwini warga asing telah diselesaikan dengan pendekatan bijaksana oleh Mahkamah Tinggi dengan memberi takrifan kepada istilah ‘bapa’ untuk merangkumi ‘ibu’ jua. 

“Justeru, Pemuda Umno menggesa pihak Peguam Negara menarik balik notis rayuan, manakala Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) harus segera menguatkuasakan keputusan ini dengan mengenepikan prosedur di bawah Perkara 15(2) bagi menyelesaikan kesemua permohonan tertunggak sepertimana saranan Mahkamah Tinggi menurut prosedur pemberian wargangara menurut kuatkuasa undang-undang dengan kadar segera.  

“Kegagalan pihak JPN mematuhi keputusan mahkamah bukan sahaja boleh dianggap ingkar, malah turut menjejaskan hasrat murni Keluarga Malaysia dipelopori Perdana Menteri dalam menjamin keutuhan institusi keluarga serta hak-hak kanak-kanak terlibat untuk mendapatkan kepentingan terbaik mereka ditegakkan,” katanya.  

Pada 9 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan anak-anak yang dilahirkan ibu warga Malaysia di luar negara secara automatik akan diberikan kewarganegaraan Malaysia.   

Dilaporkan, Kerajaan Persekutuan telah memfailkan notis rayuan untuk mengetepikan keputusan itu. – Malaysiapost

Komen