Kematian meningkat: KJ tak boleh elak untuk beri penjelasan – Kit Siang

Kematian meningkat: KJ tak boleh elak untuk beri penjelasan – Kit Siang

VETERAN DAP, Lim Kit Siang meminta Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menjelaskan mengapa Malaysia mencatatkan kes kematian Covid-19 dan yang dibawa ke hospital (BID) terburuk, semalam. 

Beliau berkata, harapan untuk melihat Khairy menguruskan penularan wabak Covid-19 di negara ini dengan baik kian pudar, seperti berlaku semasa Menteri Kesihatan sebelumnya. 

“Meskipun tidak mengambil kira jumlah kematian akibat Covid-19 dan BID yang terburuk semalam, Malaysia masih diletakkan sebagai negara nombor satu di dunia untuk kategori “kematian per sejuta penduduk sepanjang tujuh hari lalu”. 

“Malaysia mencatatkan markah sebanyak 76, menewaskan 20 negara lain yang mempunyai jumlah keseluruhan kes Covid-19 lebih tinggi berbanding Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Kit Siang menambah, selain negara-negara kecil dan negara-negara pulau, tidak dapat disangkal bahawa Malaysia berada pada kedudukan teratas untuk kes kematian akibat Covid-19 per sejuta penduduk.  

Membuat perbandingan dengan kes harian di Indonesia, Kit Siang berkata Malaysia tewas teruk berbanding dengan negara jiran itu yang mempunyai jumlah penduduk lapan kali ganda berbanding jumlah penduduk Malaysia. 

Katanya, sepanjang tiga minggu lalu, kes harian baharu Covid-19 di Indonesia menurun ke bawah paras 10,000 berbanding kes di Malaysia tidak pernah turun di bawah paras 14,000 selama dua bulan. 

“Sebagai contoh semalam, Indonesia melaporkan 2,720 kes baharu Covid-19 sementara Malaysia melaporkan 14,990 kes.  

“Indonesia juga menunjukkan penurunan kadar positif jangkitan, dari 9.3 peratus pada 1 September kepada 3.7 peratus pada 13 September,” katanya. 

Sementara itu, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata kadar kes positif Covid-19 di Malaysia sangat teruk di mana sejak akhir Ogos lalu jangkitan berada pada paras lebih 10 peratus dan pada 17 Oktober lalu meningkat setinggi 14.8 peratus. 

Katanya, kadar tersebut jauh lebih tinggi dari yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu sebanyak lima peratus. 

“Khairy tidak boleh lagi mengelak untuk menjelaskan mengenai perkara ini. Sudahkah kita menyelesaikan masalah tunggakan (backlog) dalam pengurusan mayat di hospital awam, dan jika tidak, bilakah ia akan diselesaikan?,” katanya. 

Sebanyak 487 kematian baharu akibat jangkitan Covid-19 dicatatkan setakat tengah malam, semalam. 

Berdasarkan data daripada portal COVIDNOW, sejumlah 161 daripada jumlah kes kematian harian yang dilaporkan itu berlaku di luar hospital (BID). 

Bagaimanapun, jumlah kematian turut merangkumi sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu. – Malaysiapost

Komen