KJ cadang kedai serbaneka, pasar raya jual kit ujian kendiri Covid-19

KJ cadang kedai serbaneka, pasar raya jual kit ujian kendiri Covid-19

[PARLIMEN] KERAJAAN sedang meneliti kebenaran penjualan kit ujian kendiri Covid-19 atau RTK Antigen di kedai serbaneka dan pasar raya selain farmasi bagi memudahkan orang ramai.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata ini memandangkan penggunaan kit ujian kendiri itu dilihat sebagai keperluan norma baharu yang akan menyokong proses pemulihan negara apabila lebih banyak sektor ekonomi dan aktiviti sosial dibenarkan selepas ini.

Katanya, pada masa sama harga siling peralatan itu juga akan diturunkan daripada RM19.90 bagi jualan runcit untuk membolehkan lebih banyak ujian dijalankan.

“Sehingga kini sebanyak 18 kit ujian kendiri telah mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dan beberapa jenama baharu sedang diteliti yang nilai sensitivitinya harus melebihi 90 peratus.

“Ujian menggunakan kit ini dapat memudahkan proses pengesanan, pengawalan jangkitan dan mengurangkan bebanan petugas kesihatan.

“Bagi kes yang positif menerusi ujian kit pantas antigen (RTK-Ag), individu tersebut akan terus diarah untuk isolasi dan pengasingan. Bagaimanapun pengesahan menerusi RT-PCR tetap dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi Kementerian Kesihatan (KKM) pada sidang Dewan Rakyat hari ini. – Malaysiapost

Komen