KKM ambil serius pelaporan lambat kes kematian Covid-19

KKM ambil serius pelaporan lambat kes kematian Covid-19

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan data pelaporan kematian dikemas kini secepat mungkin dengan menetapkan tempoh pelaporan semua fasiliti kesihatan mestilah dilakukan dalam tempoh 48 jam.

Menterinya Khairy Jamaluddin, berkata pihaknya memandang serius akan kepentingan pelaporan kematian bagi Covid-19 kerana ketelusan pelaporan ini merupakan agenda penting bagi KKM dalam usaha membendung wabak Covid-19 ini.

“Berkenaan data kematian yang telah menimbulkan kekeliruan seperti pada 11 September yang lalu, saya ingin memaklumkan data kematian yang direkodkan adalah berdasarkan jumlah pelaporan kematian yang diterima pada hari tersebut.

“Tidak berlaku ralat, cuma terdapat backlog pelaporan kes berikutan kebanjiran kes Covid-19 terutamanya di Lembah Klang pada penghujung bulan Julai sehingga akhir Ogos 2021,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Khairy berkata demikian pada ucapan pergulungan kementeriannya usul menjunjung kasih titah Yang di Pertuan Agong.

Ahli Parlimen Rembau itu menjelaskan, bagi melaporkan setiap kes kematian Covid-19, ia haruslah mengikut klasifikasi kematian Covid-19, di mana di Malaysia, hanya kematian yang disebabkan jangkitan Covid-19 (due to Covid-19) dilaporkan sebagai kematian Covid-19 bagi tujuan statistik kebangsaan.

“Ini juga turut menjadi penanda aras di peringkat antarabangsa. Klasifikasi ini adalah mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada April 2020.

“Bagi tujuan ini, pelaporan kematian dari fasiliti kesihatan ke CPRC mengambil masa 24-72 jam setelah kematian berlaku memandangkan terdapat juga penyiasatan lapangan yang harus dijalankan.

“Bagi kes-kes yang memerlukan bedah siasat untuk megenal pasti punca sebenar kematian, seperti kes yang meninggal di rumah atau di luar hospital (Brought In Dead, BID), ada kalanya mengambil masa sehingga enam minggu,” katanya.

Bagaimanapun, Khairy menegaskan, trend kematian kes Covid-19 telah menunjukkan penurunan terutamanya di Lembah Klang.

“Jika dilihat pada trend kematian mengikut tarikh kematian sebenar (rujuk COVIDNOW), trend kematian bagi Malaysia dan di Lembah Klang, kini telah menunjukkan trend yang menurun.

“Untuk makluman, sehingga 22 September 2021, masih terdapat 422 pelaporan kes kematian tertunggak termasuk 109 kes BID sejak pertengahan Julai 2021.

“Jika dilihat pada tren kematian mengikut tarikh kematian sebenar, tren kematian ketika ini adalah sedang menurun di seluruh negara. Sehubungan itu, adalah penting untuk merujuk kepada tarikh sebenar kematian dan bukannya pada bilangan pelaporan kes kematian yang diterima setiap hari,” katanya.

Khairy menambah, tunggakan pelaporan kes kematian ini tidak hanya berlaku di Malaysia, malah ianya juga turut berlaku di negara-negara lain seperti Amerika, United Kingdom dan India.

“Di Malaysia, tunggakan pelaporan ini berlaku di seluruh negara, namun kesannya amat ketara di Lembah Klang memandangkan pada akhir bulan Julai 2021 sehingga pertengahan Ogos 2021, Lembah Klang mengalami peningkatan kes Covid-19 yang signifikan sekali gus mengakibatkan beban kerja yang tinggi dan kekangan di lapangan dari segi sumber terutamanya sumber manusia.

“Oleh itu, fokus dan keutamaan anggota di lapangan pada ketika itu adalah kepada perawatan pesakit dan ini secara tidak langsung telah menjejaskan pelaporan kematian tepat pada waktunya iaitu dalam jangka masa 24-72 jam,” katanya. – Malaysiapost

Komen