KPM kaji semula Program Sarapan Percuma

KPM kaji semula Program Sarapan Percuma

[PARLIMEN] KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan mengkaji semula pelaksanaan Program Sarapan Percuma untuk murid sekolah rendah yang pernah cuba diusahakan pentadbiran Pakatan Harapan (PH). 

Timbalan Menterinya, Datuk Mohamad Alamin berkata kerajaan bersedia untuk mengkaji mana-mana dasar bersesuaian yang memberi manfaat kepada rakyat. 

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) yang bertanya sama ada kerajaan akan mempertimbangkan untuk melaksanakan program sarapan percuma susulan lebih ramai keluarga terjejas akibat pandemik Covid-19. 

PSP sepatutnya bermula Januari 2020 namun tidak dilaksanakan susulan kejatuhan kerajaan PH dan digantikan dengan Perikatan Nasional (PN) 

Program itu telah dimulakan secara perintis di beberapa sekolah melibatkan 6,303 murid pada 27 Ogos sehingga 22 November 2019. 

Menjawab soalan asal Maszlee, Mohamad berkata kerajaan akan meneruskan dasar mengutamakan pengambilan pelajar dari keluarga golongan berpendapatan rendah (B40) ke sekolah berasrama penuh yang diperkenalkan pada 2018. 

“Pada waktu itu ditetapkan 60 peratus penawaran kepada pelajar B40 namun pada 2019 jumlahnya hanya 37.9 peratus dan 36.5 peratus pada 2020. 

“Tahun ini jumlahnya meningkat 51.4 peratus, antara faktornya adalah strategi kementerian memperkenal kaedah permohonan secara berpusat yang membolehkan lebih ramai mendapat tempat,” katanya.

Komen