KPM laksana sistem penggiliran sekolah, kelas dibahagi 2 kumpulan

KPM laksana sistem penggiliran sekolah, kelas dibahagi 2 kumpulan

UNTUK melaksanakan sistem penggiliran di sekolah, murid di dalam sesebuah kelas akan dibahagikan kepada dua kumpulan, kata Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata, dalam seminggu hanya satu kumpulan sahaja yang akan hadir ke sekolah manakala kumpulan satu lagi akan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara sendiri.

“Sebagai contoh, kelas yang mempunyai 36 murid akan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu A dan B dengan setiap kumpulan mempunyai 18 murid.

“18 murid kumpulan A akan hadir pada minggu pertama untuk mengikuti PdP secara bersemuka manakala 18 murid kumpulan B akan menjalani PdPR secara sendiri.

“Untuk minggu berikutnya, 18 murid kumpulan B pula akan mengikuti PdP secara bersemuka dan 18 murid kumpulan A tadi akan menjalani PdPR secara sendiri. Kitaran penggiliran ini akan berterusan sehingga dimaklumkan oleh KPM kelak,” katanya di sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Radzi juga menjelaskan, sebelum sekolah dibuka untuk PdP bersemuka, guru akan menetapkan kumpulan murid dan giliran mereka untuk hadir ke sekolah.

“Guru kemudiannya akan memaklumkan kepada setiap kumpulan murid tentang persediaan yang perlu dilaksanakan semasa mereka menjalani PdPR secara sendiri atau sebelum mereka hadir ke sekolah untuk PdP bersemuka.

“Bagi kumpulan murid yang mengikuti PdPR secara sendiri, guru akan menjelaskan tentang aktiviti, latihan atau tugasan yang perlu dilaksanakan berdasarkan topik yang akan dipelajari.

“Di samping itu, guru akan turut memberi sumber rujukan yang boleh digunakan oleh murid semasa pembelajaran di rumah,” katanya.

Radzi berkata, ia bagi membolehkan murid mengikuti aktiviti pembelajaran melalui TV Pendidikan, rakaman video, pelantar DELIMa serta SumberKU, sementara guru juga boleh memberi tugasan untuk murid. – Malaysiapost

Komen