PH mahu Azam Baki direhatkan

PH mahu Azam Baki direhatkan

PAKATAN Harapan (PH) meminta mahu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki direhatkan sementara waktu sehingga siasatan penuh dilakukan berhubung dakwaan salah laku melibatkan tiga pegawai kanan suruhanjaya itu.

Majlis Presiden PH menerusi kenyataan hari ini berkata pihaknya mengikuti dan meneliti isu penahanan reman tiga pegawai kanan SPRM pada 14 sehingga 19 September lalu, atas dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap Datuk Hasanah Abdul Majid, Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO).

Menurut kenyataan itu, Majlis Presiden PH menyambut baik kenyataan Menteri Dalam Negeri dalam Dewan Rakyat semalam bahawa satu kertas inkuiri Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dibuka terhadap isu ini.

“Bagaimanapun memandangkan isu ini telah mewujudkan persepsi amat buruk terhadap SPRM serta mengakibatkan rakyat mempertikai integriti institusi itu sendiri, kami berpandangan satu kertas siasatan perlu dibuka.

“Siasatan tersebut perlu bersifat menyeluruh dan mereka yang telah melanggar undang-undang mesti dibawa ke muka pengadilan.

“Pada masa sama Datuk Seri Azam Baki, patut direhatkan sementara waktu dari tugas-tugas beliau sehingga siasatan penuh dapat dilakukan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, PH berpandangan Kerajaan wajar mempertimbang menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat isu-isu berhubung SPRM, serta mencadangkan langkah mereformasi institusi penting itu.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu serta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Isnin lalu, SPRM mengesahkan tiga pegawainya ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes membabitkan seorang bekas ketua jabatan.

SPRM memaklumkan, ketiga-tiga pegawai sudah dihadapkan ke Mahkamah Majistret untuk permohonan reman selama enam hari bermula 14 September lalu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan dilaporkan berkata, polis tidak menerima laporan berhubung dakwaan berlaku kecurian barang kes membabitkan wang tunai AS$6 juta (RM25 juta), milik seorang individu yang pernah disiasat. – Malaysiapost

Kredit Foto: Harakah Daily

Komen